Gaza: Ketika Ramadan bermula pada 18 Februari, rakyat Palestin di Gaza terpaksa bersolat di runtuhan masjid atau ruang solat sementara yang diperbuat daripada kanvas dan kayu, sambil meratapi kematian orang tersayang.
Di Bandar Gaza, kubah Masjid Al Hassaina yang musnah terletak di atas timbunan runtuhan.
Halaman masjid yang dahulunya menjadi tempat jemaah berkumpul kini menjadi lokasi keluarga tidur dan memasak di celah runtuhan dengan tali jemuran bersilang di antara runtuhan.
Seorang sukarelawan di masjid itu, Sami Al Hissi, 61, berkata, dia tidak sanggup melihat keadaan masjid yang dahulunya dipenuhi jemaah bersolat bahu ke bahu.
“Dahulu semua bersolat dengan selesa. Kami bertemu rakan-rakan dan orang tersayang. Kini tiada lagi orang tersayang, tiada lagi rakan dan tiada lagi masjid,” katanya.
Sami berkata, masjid itu menarik jemaah dari kawasan kejiranan lain termasuk Shejaia dan Daraj sepanjang Ramadan.
“Ia akan dipenuhi ribuan jemaah tetapi sekarang, di mana mereka sepatutnya bersolat? Semuanya runtuhan dan kemusnahan. Hampir tiada ruang mencukupi untuk seratus orang,” katanya.
Dalam pada itu, kanak-kanak memanjat kubah yang retak, manakala wanita mengutip pakaian yang dijemur di antara tiang yang rosak.
Serangan Israel pada 7 Oktober 2023 mengorbankan 1,200 orang, manakala serangan balas Israel dilaporkan mengorbankan 72,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan.
Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas berkata, 835 masjid musnah sepenuhnya dan 180 lagi rosak sebahagian, manakala 40 daripada 60 tanah perkuburan juga dimusnahkan.
Bagi ramai penduduk, kehilangan ini memberi kesan rohani dan komuniti dengan ramai terpaksa bersolat di khemah, kerana masjid menjadi pusat perlindungan bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal.
Sementara itu, pengarah kementerian hal ehwal agama di Bandar Gaza, Amir Abu Al-Amrain berkata, walaupun terdapat kekurangan bahan, sebahagian kecil masjid cuba dibina semula menggunakan plastik terpakai dan kayu.
Beliau berkata, 430 kawasan solat dibina semula dengan ada yang menggunakan plastik rumah hijau, kayu atau plastik daripada khemah.
© New Straits Times Press (M) Bhd






