lizamridzuan@hmetro.com.my
Lebih 185 pemilik kenderaan Subaru berkumpul di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyertai Subaru Track Day 2025, acara tahunan yang kini menjadi simbol kekuatan komuniti dan semangat pemanduan dalam kalangan peminat jenama Jepun itu.
Menerusi tema ‘One Life. One Track’, acara ini bukan sekadar mengenai kelajuan, tetapi juga mengenai membina hubungan antara pemilik dan menghayati nilai kenderaan mereka dalam persekitaran yang selamat.
Acara ini dianjurkan oleh Motor Image Malaysia, pengedar rasmi Subaru dengan objektif menjadikan pengalaman di litar lebih mudah diakses orang ramai, khususnya pemilik Subaru yang ingin menguji potensi sebenar kenderaan mereka.
Daripada pelumba berpengalaman hingga pemandu harian, semua diberi peluang merasai keunikan pemanduan di litar sebenar dan antara aktiviti utama yang mencuri tumpuan termasuk sesi khas bersama GRZ Club, cabaran Time Attack dan dua slot pemanduan bebas yang dinamakan ‘No Stress’ dan ‘No Chill’.
Slot ini direka untuk mereka yang ingin merasai pengalaman memandu di litar tanpa tekanan masa atau persaingan dengan hanya pemandu, kereta dan litar yang terbuka.
Selain itu, salah satu momen yang paling ikonik ialah Parade Drive khas untuk pemilik Subaru sahaja, apabila 185 kenderaan memasuki trek serentak.
Detik ini bukan sahaja menghidupkan suasana di litar, tetapi juga menjadi lambang perpaduan dalam kalangan pemilik Subaru dari seluruh negara yang turut mendapat sokongan kukuh daripada pelbagai penaja.
Tambah meriahkan suasana dengan kehadiran kelab pemilik seperti Subaru XV Club Malaysia, V11 Malaysia Club dan GRZ Club Malaysia meyerlahkan lagi semangat komuniti yang menjadi tunjang utama acara ini.
Acara ini juga terbuka kepada orang awam yang ingin mencuba pengalaman sebagai penumpang dalam sesi ‘taxi ride’ berkelajuan tinggi bersama jurulatih profesional.
Motor Image menyediakan barisan model terkini termasuk BRZ, WRX, Forester dan XV, membolehkan pengunjung merasai sendiri prestasi dan kawalan yang menjadi DNA Subaru.
Bagi memastikan keselamatan dan prestasi optimum, kereta litar oleh Motor Image dilengkapi dengan tayar berprestasi tinggi serta minyak enjin yang terbukti tahan lasak di bawah tekanan ekstrem.
Tambahan pula, setiap peserta yang membawa kereta sendiri menerima beg cenderahati produk penjagaan kenderaan sebagai usaha menjaga enjin selepas penggunaan intensif di trek.
Menurut Motor Image, acara ini menggambarkan falsafah mereka – ‘One Life. One Subaru’ – yang menekankan nilai ketahanan, keupayaan dan semangat kekitaan.
Dianjurkan sebagai pemanduan sebagai gaya hidup, bukan sekadar keperluan, acara ini meraikan perjalanan hidup yang berani dan bersemangat dan sama seperti kenderaan yang mereka pandu.
Acara Subaru Track Day 2025 menjadi bukti bahawa komuniti automotif tempatan masih kuat dan penuh semangat yang bukan sahaja merapatkan hubungan antara pemilik dan pengeluar, tetapi juga menyemarakkan lagi budaya permotoran di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd