Gelombang kedua banjir di Perlis lebih buruk, air pasang besar dijangka setinggi 3.7 meter

Gelombang kedua banjir di Perlis lebih buruk, air pasang besar dijangka setinggi 3.7 meter


KANGAR: Perlis bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir susulan fenomena air pasang besar yang dijangka akan mengundang impak lebih besar berbading sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, fenomena air pasang besar pada kali ini dijangka berlaku pada 16 sehingga 19 Oktober dengan ketinggian ombak mencecah sehingga 3.7 meter.

Beliau berkata, semua agensi keselamatan dan bantuan akan digerakkan lebih awal bagi menghadapi fenomena itu sekiranya berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat.

“Sewaktu fenomena air pasang besar pada 19 September lalu, paras ketinggian ombak ketika itu hanyalah sekitar antara 3.3 hingga 3.4 meter dan turut menyebabkan banjir.

“Disebabkan itu semua agensi diarahkan berwaspada dan bersiap sedia sekiranya berlaku pertembungan air pasang besar dan hujan lebat pada tarikh berkenaan,” katanya selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

19 September lalu, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira lebih 300 buah rumah sekitar Kuala Perlis terjejas berikutan fenomena air pasang besar yang melanda pada ketika itu.

Selain itu, beberapa kawasan sekitar Perlis pada ketika ini juga turut terjejas disebabkan oleh banjir malah sebanyak enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut diaktifkan bagi menempatkan mangsa terlibat.

Mengulas lanjut, Che Murad berkata, antara lokasi-lokasi yang berpotensi banjir sewaktu fenomena air pasang besar nanti adalah seperti kawasan Repoh, Kampung Bakong, Kampung Bakau, Kampung Tok Kandang, dan beberapa lagi.

“Bagi menghadapi situasi ini, semua agensi akan digerakkan awal mungkin sehari atau dua hari sebelum dengan persediaan PPS dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai situasi semasa banjir di Perlis, beliau berkata, keadaan pada ketika ini masih terkawal dan tidak seteruk di beberapa negeri lain yang terjejas.

Katanya, seramai 7,200 anggota dari pelbagai agensi turut bersiap sedia bagi menghadapi banjir di negeri ini terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beberapa lagi.

“JKR dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) juga turut digerakkan bagi menyelenggara sistem saliran dalam menggelakkan situasi banjir berlaku,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top