GEM seru perlindungan adil untuk pekerja gig

GEM seru perlindungan adil untuk pekerja gig


PETALING JAYA: Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) menyeru pihak berkuasa, syarikat platform, dan masyarakat global agar memberi perhatian serius terhadap pekerja gig, khususnya dalam sektor e-hailing dan p-hailing.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, kerajaan perlu memperkenal polisi perlindungan kepada pekerja gig kerana setiap negara harus memiliki pendekatan sesuai berdasarkan keadaan sosioekonomi dan budaya masing-masing.

Jelasnya, pendekatan ‘one size fits all’ tidak lagi sesuai dan tidak mampu menangani keunikan dan kerumitan ekonomi gig.

“Kami percaya bahawa ekonomi gig kini adalah satu sektor yang semakin berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

“Namun, pekerja gig sering kali dipinggirkan dan tidak mendapat perlindungan yang sewajarnya, berbanding dengan pekerja dalam sektor formal,” katanya.

Terdahulu, akhbar melaporkan nasib pekerja ekonomi gig dibela tidak lama lagi apabila satu draf Rang Undang-Undang (RUU) mengenai kumpulan tersebut akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

Mengulas lanjut, Jose berkata, kesedaran mengenai isu sosial dan kesejahteraan pekerja gig perlu diberi perhatian lebih mendalam, terutamanya dalam aspek keselamatan sosial, kesihatan, dan hak-hak pekerja.

Katanya, ini bukan hanya isu tempatan, tetapi isu global yang memerlukan kerjasama pelbagai pihak untuk mencari penyelesaian yang holistik.

“GEM komited untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan pekerja gig di negara ini.

“Kami berharap kerajaan, syarikat platform, dan organisasi lain dapat bekerjasama dengan kami untuk mencapai sistem yang lebih adil dan saksama bagi semua pekerja tanpa mengira status pekerjaan,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top