Putrajaya : Penganjur festival Gema Raya Putrajaya 2026 @ PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya) komited membantu rakyat menerusi penawaran harga produk dan jualan sekali gus meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Penganjur yang juga Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, usaha itu amat penting terutama menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri apabila kos sara hidup semakin meningkat sekali gus memberi kesan kepada banyak pihak.
“Sebagai penganjur, kami memberi jaminan harganya yang ditawarkan di festival ini berpatutan dan mampu dibeli oleh kebanyakan rakyat.
“Malah menawarkan harga patut demi keberkatan yang wajar dicontohi oleh usahawan lain di semua peringkat.
“Apatah lagi sewa lot niaga di sini tidak terlalu membebankan walaupun menyewa selama 33 hari yang membolehkan peniaga tidak sewenang-wenangnya meletak harga tinggi untuk mendapat balik modal sewa,” katanya pada majlis pelancaran Gema Raya Putra 2026@PICC di sini.
Pada majlis sama, turut dilancarkan lagu tema festival itu yang berjudul Gema Raya yang tulis dan dinyanyikan Rayme sendiri.
Festival ini turut mendapat kerjasama PULSE Group serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Turut serta sebagai Rakan Strategik edisi pertama Gema Raya Putrajaya adalah GRAB, MindLab, Red Circle Studio, Happy Token, Aunim Model, Mahardika Production, JBS Solutions, Monster Outdoor, Anjung E.A.T.S, GG Coffee dan Rakan Pelaksana POUCHES MY.
Festival itu menggabungkan keusahawanan, seni budaya, penggunaan teknologi, program kerohanian serta inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.
Mengulas lanjut, Rayme turut mengakui pihaknya menyedari tanggapan masyarakat mengenai Gema Raya Putrajaya yang disifatkan festival bertaraf prestij apabila bakal diserikan dengan kemunculan istimewa beberapa artis popular tanah air.
Kata beliau, kemunculan Aina Abdul, Ernie Zakri, Khai Bahar, Amir Masdi dan Nabila Razali yang akan membuat persembahan pada hujung minggu terpilih pasti dinantikan pengunjung kerana kesemua mereka adalah bekas finalis yang pernah berentap di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL).
Tambahnya, turut memeriahkan acara adalah Bella Astillah serta artis meningkat naik iaitu juara sulung program realiti nyanyian Raise The Star Malaysia, Didie Shazry, dan kumpulan Alpha yang ditubuhkan menerusi program Big Stage Alpha.
© New Straits Times Press (M) Bhd





