mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali baharu Selangor FC, Katsuhito Kinoshi menjelaskan tidak berasa kecewa atau sedih apabila pasukannya terkandas di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Jurulatih berasal dari Jepun itu berkata, barisan pemainnya mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan menentang kelab Filipina, Cebu FC hingga mampu meraih kemenangan besar 4-0 di tempat lawan.
Katanya, beliau tidak mahu terus meratapi keputusan terbabit apabila mahu fokus kepada saingan Liga Super dan perebutan Piala Cabaran yang akan berlangsung kelak.
“Saya memberitahu pemain supaya lebih fokus pada perlawanan menentang Cebu FC dan tidak memikirkan perkara lain terutamanya membabitkan keputusan pasukan lawan.
“Kita harus tunjukkan mentaliti yang bagus demi penyokong tempatan. Saya berpuas hati dan gembira kerana mampu capai sasaran ditetapkan.
“Walaupun meraih kemenangan namun agak sedih kerana tidak layak ke pusingan seterusnya. Apa pun kita harus pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Sebelum itu, impian untuk melihat Selangor FC melebarkan sayap di pentas ACL2 boleh dikatakan lebur walaupun mencatatkan kemenangan besar menentang kelab Filipina, Cebu FC 4-0 di Stadium Rizal Memorial, Manila, petang semalam.
Hal ini kerana, Selangor FC terlepas peluang sekurang-kurangnya mengakhiri saingan kumpulan H di tempat kedua selepas wakil kelab Thailand Muangthong United berjaya mengalahkan Jeonbuk FC 1-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok.
Jeonbuk muncul juara kumpulan dengan mengumpul 12 mata, satu mata mengatasi Muangthong United di kedudukan kedua, manakala Selangor menghimpun 10 mata.
Ia juga menjadi satu lagi detik malang buat Gergasi Merah selepas tersingkir awal dari Piala Malaysia selepas tewas dengan agregat 2-3 kepada Sri Pahang di pusingan 16.
© New Straits Times Press (M) Bhd