Geng balik kampung awal pagi

Geng balik kampung awal pagi



nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ramai pengguna jalan raya memilih untuk memulakan perjalanan ke kampung halaman pada awal pagi bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Peniaga, Mazmi Manzor, 39, berkata, dia memilih waktu itu untuk mulakan perjalanan kerana mahu lebih fokus kepada pemanduan.

“Tahun ini, saya bersama isteri serta tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun akan balik ke Kuala Terengganu, Terengganu yang juga kampung isteri.

“Kami akan berangkat antara jam 3 atau 4 pagi nanti dari Kajang ke kampung kerana keadaan ketika ini amat selesa untuk saya memandu memandangkan anak-anak boleh tidur.

“Ketika itu, saya boleh fokus kepada pemanduan selain suasana awal pagi yang sejuk berkabus tidak memerlukan penghawa dingin dalam kenderaan,” katanya.

Menurutnya, dia akan menggunakan laluan Kajang-Kuala Pilah-Bahau-Muadzam Shah-Gambang-Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ke Kuala Terengganu, nanti.

“Sebelum ini, saya guna laluan Cheras-Gombak-Karak-LPT1. Ini adalah kali pertama saya akan menggunakan laluan ini untuk balik beraya kerana saja mahu tukar ‘selera’.

“Kebetulan hari ini yang diberi pengurangan diskaun kadar tol adalah hari terakhir saya berniaga, jadi saya buat keputusan untuk gerak awal pagi nanti.

“Tahun lalu, saya pernah ‘sangkut’ jammed (kesesakan lalu lintas) selama 13 jam untuk balik beraya ke Pantai Timur. Selepas ke Kuala Terengganu, kami sekeluarga akan ke kampung saya pula di Ketereh, Kelantan, pada raya kedua,” katanya.

Pemandu lori, Shahrul Anuar Mohamed, 37, juga mengambil pendekatan sama untuk memulakan perjalanan ke kampung halamannya di Muar, Johor.

“Meskipun selesai bekerja petang esok tetapi saya rancang untuk balik ke Muar pada waktu awal pagi (Ahad) kerana saya jangkakan jumlah kenderaan ketika itu tidak begitu banyak.

“Lazimnya laluan lebuh raya ke selatan agak sesak pada waktu malam. Sebab itu, saya pilih untuk gerak lewat sedikit, asalkan tidak terlalu sesak.

“Pada hari biasa, selalunya hanya akan ambil masa antara tiga hingga empat jam ke Muar. Namun ketika musim perayaan ini, perjalanan akan ambil masa hingga tujuh jam,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Azirah Abdul Rashid, 56, berkata, dia dan suaminya, Jafri Tajuddin, 58, memilih untuk beraya di Kajang terlebih dulu sebelum pulang ke kampung di Sungai Petani, Kedah.

“Pada awalnya, memang kami rancang nak balik kampung sebelum raya. Tetapi mengenangkan suami mahu beraya bersama adik-beradiknya terlebih dulu, kami pilih untuk balik kampung pada raya kedua nanti.

“Apabila balik kampung ketika itu (raya kedua), selalunya lebuh raya tidaklah begitu sesak jika dibandingkan ketika balik sebelum raya.

“Sebelum ini, kami sekeluarga pernah berdepan dengan kesesakan lalu lintas teruk yang mengambil masa 12 jam dari Sungai Petani ke Kajang berbanding hanya empat ke lima jam pada hari biasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top