am@hmetro.com.my
Balik Pulau: Tiga termasuk wanita ahli geng pecah masuk dobi dan samun dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mencuri wang berjumlah RM37,500 dan token.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap kesemua tertuduh bagi pertuduhan pertama dan lapan bulan penjara bagi pertuduhan kedua selain menetapkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.
Mereka adalah ahli geng yang mana ketuanya mati berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Lintang Bukit Jambul di sini, pada 15 Mei lalu.
Tertuduh, Teoh Keng Leng, 37; Heng Li Thing, 41; dan Ang Chin Pur, 48 tahun mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka didakwa dengan sengaja mencuri dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta benda iaitu mencuri wang berjumlah RM7,500 dan token sebuah pusat dobi layan diri milik seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kedai dobi 123 di Batu Maung di sini, jam 4.30 pagi pada 9 Mei lalu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencuri wang berjumlah RM30,000 dan token milik dobi layan diri yang sama, jam 4 pagi pada 3 April lalu.
Kedua-dua pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani meminta mahkamah memberi hukuman setimpal susulan kesemua mereka adalah ahli sindiket yang terbabit dalam kes pecah masuk dobi di negeri ini selain ketuanya mati berbalas tembakan dengan polis pada awal bulan ini.
“Mereka melakukan kesalahan sama di beberapa daerah dan saya difahamkan akan didakwa di mahkamah lain selepas ini bagi kesalahan berkenaan.
“Justeru saya mohon hukuman setimpal serta berbentuk pengajaran kepada semua tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Bagaimanapun, peguam, Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman penjara minimum kerana tidak mampu membayar denda berikutan perlu menyara keluarga dengan pendapatan harian tidak lebih RM110 selain kesalahan pertama mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd