am@hmetro.com.my
Georgetown: Tiga lelaki warga China dan seorang wanita Vietnam direman selama empat hari selepas dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyasarkan mangsa kalangan rakyat Republik China.
Perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 21 hingga 34 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula tadi sehingga 1 Jun depan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah jam 9.03 pagi dengan diiringi polis bagi mendapatkan perintah reman.
Difahamkan, tangkapan ke atas semua suspek itu dibuat sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut selepas menyerbu sebuah kondominium mewah di Pulau Tikus di sini, semalam.
Serbuan jam 11.30 pagi itu membongkar kegiatan tiga lelaki warga China itu yang berperanan sebagai operator sindiket dengan pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM20,000.
Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama, tiga komputer riba, seutas jam tangan Rolex, wang tunai RM80,455 dan 900 Yuan.
Manakala wanita Vietnam berusia 21 tahun itu pula dipercayai kekasih kepada suspek berusia 34 tahun, yang juga penyelia sindiket dan menguruskan keseluruhan operasi di lokasi berkenaan.
Difahamkan, sindiket berkenaan aktif sejak Mac lalu dan menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat China menerusi aplikasi Telegram, Potato, WeChat dan QQ.
Mangsa yang berminat kemudian akan diberikan pautan laman web palsu sebelum diarahkan membuat pembayaran, termasuk menggunakan kod QR yang disediakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd