Riyadh: Georgina Rodriguez mendedahkan kisah hubungan istimewa penuh makna dengan Cristiano Ronaldo di media semalam.
Pasangan bahagia itu bertunang pada Ogos lalu, apabila Ronaldo melamar pasangannya yang telah bersama selama sepuluh tahun. Cincin pertunangan Georgina dikatakan bernilai kira-kira £3.7 juta (RM20.2 juta).
Menurut wanita berusia 31 tahun itu dengan nada bergurau, cincin mewah itu adalah yang paling kurang boleh ditawarkan Ronaldo selepas menunggu sedekad untuk bertunang.
Pempengaruh kelahiran Buenos Aires itu berkata: “Ia cantik. Paling kurang yang boleh dia tawarkan selepas sepuluh tahun menunggu.
“Apabila dia melamar, itu perkara terakhir yang terlintas di fikiran saya. Saya mengambil masa yang lama untuk memproses batu permata besar itu.
“Saya begitu terkejut sehingga meninggalkannya di bilik dan tidak membukanya di bawah cahaya matahari sehingga esok.”
Ronaldo dan Georgina mempunyai dua anak bersama; Alana, lapan tahun, dan Bella, empat tahun.
Georgina juga membantu membesarkan anak-anak Ronaldo yang lain; Cristiano Jr, 15 tahun, dan kembar Mateo dan Eva, lapan tahun.
Tentang hubungannya dengan Ronaldo, Georgina menambah:
“Saya rasa ada hubungan yang jauh lebih mendalam daripada fizikal.
“Saya tidak boleh kata saya dapat ramalkan takdir saya, atau bahawa sepuluh tahun kemudian kami akan mempunyai lima anak, tetapi saya merasai satu perasaan yang tidak dapat dijelaskan.
“Seolah-olah jiwa kami bercakap antara satu sama lain sebelum mata kami bertemu.
“Ada sesuatu dalam diri saya mengenali sesuatu dalam dirinya, dan sejak saat itu saya tahu hubungan ini benar-benar berbeza dan unik.”
Dalam temubual dengan Piers Morgan bulan lalu, Ronaldo juga mendedahkan tentang lamaran itu.
Bekas bintang Manchester United itu berkata: “Gio minta saya carikan cincin untuk ditawarkan kepadanya.
“Itu impiannya untuk mempunyai batu yang cantik dan akhirnya saya jumpa satu dan dia menyukainya.
“Kawan saya memberi cincin itu untuk ditawarkan kepada Gio, dan dua anak perempuan saya masuk dan berkata, ‘Daddy, awak akan beri cincin ini kepada Mummy dan awak akan berkahwin dan saya tahu itu betul. Saya kata ya, sekarang masanya, kerana anak-anak perempuan saya.”
Ronaldo kemudian menambah:
“Dia tanya saya kalau saya bercakap benar, dia tak percaya.”
Tentang masa lamaran itu, CR7 meneruskan: “Segala-galanya datang pada masanya. Kadang-kadang anda perlu masa untuk sedar.
“Saya mahu melamar dia kerana ini masanya, bukan hanya kerana dia ibu kepada anak-anak saya, tetapi kerana dia adalah cinta dalam hidup saya.
“Saya berusia 40 tahun, tiada apa yang akan berubah kerana kami berkahwin. Ini adalah babak yang indah dalam hidup saya.”
Pasangan terbabit merancang untuk berkahwin selepas Piala Dunia musim panas depan, dengan Ronaldo masih bermimpi untuk meraih satu-satunya trofi utama yang belum pernah dimenanginya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






