KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mencadangkan kerajaan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Ketua Penerangan Parti Gerakan, Wendy Subramaniam berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada lima teras yang dicadangkan Gerakan untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan kerajaan tidak lama lagi.
Teras terbabit adalah kemampuan perumahan; kelestarian kebajikan; pembangunan ekonomi penjagaan; akses kepada pendidikan tinggi untuk golongan kurang bernasib baik dan pelaburan untuk atlet negara.
Menjelaskan lebih lanjut, Wendy berkata, GST merupakan sistem cukai yang jauh lebih cekap dan telus berbanding SST, serta telah terbukti berkesan dalam mengurangkan saiz ekonomi gelap dari 30 peratus kepada 20 peratus dalam jangka masa pendek pelaksanaannya.
Tambah beliau, kerajaan boleh memperkenalkan GST pada kadar yang lebih rendah iaitu lima peratus untuk tahun pertama (disasarkan pada 2026) diikuti dengan peningkatan tahunan sebanyak satu peratus sehingga mencapai kadar cukai semasa lapan peratus pada tahun keempat (2029).
Dalam masa sama, ujarnya kerajaan menerusi Belanjawan 2025 juga dicadangkan menaikkan had pelepasan cukai untuk sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sukarela daripada RM7,000 kepada RM14,000 selain mengenakan cukai warisan bagi golongan kaya.
“Ini bagi membolehkan hasil cukai yang dikumpul menerusi inisiatif tersebut dapat digunakan untuk membiayai usaha kebajikan sosial lain terutamanya dalam meningkatkan golongan belia yang kurang bernasib baik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
GST pernah dilaksanakan di negara ini pada kadar enam peratus pada April 2015, namun digantung pada Jun 2018 sebelum dimansuhkan dan digantikan sepenuhnya dengan SST pada 1 September 2018.
Dalam pada itu, Wendy berkata, kerajaan menerusi Belanjawan 2025 juga perlu membantu pembeli rumah kali pertama melalui program bantuan tunai secara langsung untuk meringankan perbelanjaan yang berkaitan dengan pembelian rumah.
“Jumlah bantuan tunai itu akan ditentukan berdasarkan nilai pasaran rumah yang mana mereka yang membeli rumah pada harga yang lebih rendah akan menerima jumlah bantuan yang lebih tinggi untuk menggalakkan pembelian rumah mampu milik,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, Gerakan turut mencadangkan kerajaan menyediakan peruntukan khas kepada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membiayai inisiatif membantu golongan kurang bernasib baik bukan sahaja untuk yuran pengajian universiti, tetapi perbelanjaan harian melalui pemberian elaun dan biasiswa. – MalaysiaGazette