Bagneres-De-Luchon: Pelumba Belanda, Thymen Arensman muncul juara peringkat ke-14 Tour de France (TdF) 2025 selepas tunggangan solo luar biasa merentasi laluan mendaki sejauh 183 kilometer (km) dari Pau ke Superbagneres, hari ini.
Pelumba pasukan Ineos Grenadiers itu memecahkan diri daripada kelompok pendahulu di pendakian Col de Peyresourde (7.1km pada cerun 7.8 peratus) dan terus menjarakkan diri walaupun berlaku insiden apabila kereta pasukan Ineos melanggar seorang penonton di tepi jalan dalam suasana kelam-kabut yang biasa menghiasi TdF.
Arensman mengekalkan rentak konsisten hingga ke garisan penamat di Superbagneres (12.4km pada cerun 7.3 peratus) tanpa menoleh ke belakang, sekali gus mencipta kemenangan solo bergaya di laluan pergunungan Pyrenees.
Di belakangnya, Tadej Pogacar dari Slovenia terus mempertahankan Jersi Kuning apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua selepas memenangi pecutan membabitkan dua pelumba menewaskan pencabar utama, Jonas Vingegaard, dengan ketinggalan 1 minit 12 saat di belakang Arensman.
Juara bertahan itu turut menambah enam saat lagi ke atas pelumba Denmark itu dalam kedudukan keseluruhan, menjadikan jurang keseluruhan kini 4 minit 13 saat.
Vingegaard cuba beberapa kali melancarkan serangan ketika mendaki ke Superbagneres, namun Pogacar kekal tenang dan tidak goyah, sebelum melakukan pecutan di garisan penamat untuk menunjukkan dominasi mutlaknya dalam perlumbaan edisi kali ini.
Bagaimanapun, kemenangan milik Arensman, satu kemenangan penting dalam kerjayanya dan detik membanggakan buat Belanda di TdF.
© New Straits Times Press (M) Bhd