Gerakan tawar kaunseling pendidikan lanjut pelajaran

Gerakan tawar kaunseling pendidikan lanjut pelajaran


KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menawarkan kaunseling pendidikan khas untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di dalam negara, China, Taiwan, serta negara Barat termasuk Oceania.

Menurut Ketua Biro Pendidikan parti berkenaan Wong Yew Yuen, ia bagi memudahkan pelajar mengetahui program yang bersesuaian dengan minat masing-masing.

“Kami menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pelajar, membantu mereka memilih jurusan yang sesuai dengan minat, personaliti, dan prestasi akademik mereka,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Tambahnya, parti itu turut menyediakan bantuan untuk pelajar membuat permohonan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.

Ujarnya, Gerakan akan membantu pelajar khususnya dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan memohon biasiswa bagi mengurangkan beban menampung yuran dan kos sara hidup.

“Untuk memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dapat merealisasikan impian pendidikan mereka, Gerakan akan membantu mereka dalam memohon pelbagai biasiswa,” jelasnya.

Terdahulu Wong berkata Gerakan membuat ketetapan itu menerusi mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat yang berlangsung hari ini.

Katanya, ia bagi menggalakkan pelajar melanjutkan pelajaran berdasarkan minat dan kemampuan.-MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top