Gesa MFL lantik CEO dalam kalangan sendiri

Gesa MFL lantik CEO dalam kalangan sendiri


LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) disarankan untuk melantik individu yang berada dalam badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) bagi mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang dikosongkan oleh Giorgio Pompili Rossi.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail percaya bahawa individu dalam kalangan mereka sendiri mempunyai keupayaan untuk mengendalikan operasi MFL sekiranya diberikan peluang untuk mentadbir organisasi tersebut.

“Sejujurnya, sudah tiba masanya jawatan penting seperti CEO dilantik dalam kalangan orang MFL yang lebih memahami budaya organisasi itu.

“Liga-M sedang menghadapi pelbagai cabaran hebat pada ketika ini, yang saya percaya hanya individu dalam MFL yang memahami ekosistem bola sepak negara.

“Saya tidak menafikan individu profesional atau tokoh bola sepak dari luar MFL, namun saya lebih percaya hanya orang MFL sahaja yang mampu menangani pelbagai situasi luar jangka dalam Liga-M,” katanya kepada Sukan Sinar.

MFL sebelum ini mengesahkan Rossi tidak lagi bersama badan tersebut yang menyaksikan operasi kini diterajui sekretariat diketuai Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd.

Pelantikan Rossi, individu dari luar negara pertama yang dilantik sebagai CEO MFL sebelum ini dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 4 September lalu.

Keputusan melantik Rossi adalah berdasarkan pengalamannya dalam industri bola sepak sejak 2013, bermula dengan agensi komersial Kelab Serie A, diikuti Valencia CF di Sepanyol, sebelum ke LaLiga pada 2017.

Rossi berkhidmat di Malaysia sebagai Delegasi La Liga dari 2017 hingga 2021, memainkan peranan penting membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab Sepanyol di negara ini.

Beliau kemudiannya melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand di Bangkok sejak 2021, serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar, sebelum dilantik sebagai CEO MFL.

Ditanya mengenai individu yang mampu mengendalikan MFL, bekas pemain pertahanan Harimau Malaya dan Pahang itu mencadangkan Mohd Shazli sebagai individu yang sesuai buat masa ini.

“Sebaiknya, beri peluang kepada Mohd Shazli kerana beliau sudah lama bersama MFL dan bermula dari bawah sejak era Datuk (Ab) Ghani (Hassan) dan (Datuk) Stuart (Ramalingam).

“Malah, yang paling penting, beliau lebih arif dalam sistem pengurusan Liga-M bagi memastikan perjalanan liga berjalan lancar,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top