May 24, 2024

Gesa pemimpin PN letak jawatan pandangan cetek – Santhara


KUALA LUMPUR – Saranan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur selepas kekalahan Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu disifatkan sebagai ‘pandangan cetek’.

Pandangan seumpama ini lebih bersifat ‘politik prospektif’ kerana cadangan itu tidak konstruktif sebaliknya hanyalah melakukan gesaan supaya pemimpin tertinggi meletakkan jawatan atau berundur.

Bekas Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata,  PN gagal meraih kemenangan di KKB pada Sabtu lepas kerana hampir 45 peratus pengundi India yang tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak keluar mengundi pada hari itu.

Jelas beliau, secara umum semua pihak termasuk pembangkang sedia maklum pengundi Cina tegar dalam mengundi calon DAP manakala undi dalam kalangan masyarakat Melayu pula sudah ‘berpecah’ dengan kebanyakan mereka memilih PN, trend yang bermula sejak PRU-15 lagi.

“Sebelum ini ketika kempen sudah ada pelbagai analisis bagaimana pengundi India tidak mahu undi PH, mahu memboikot dan sebagainya kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan pusat dan negeri diterajui PH.

“Malah kumpulan ini juga menyatakan sokongan kepada PN, ada analisis mengatakan sokongan masyarakat  India kepada PN ialah 60 peratus berbanding PH hanya 40 peratus, ini juga selepas pelbagai perkara mengguris hati komuniti itu sepanjang PH terajui negara.

“Jadi mana silapnya? Mengapa lebih 45 peratus pengundi tidak jadi keluar untuk undi? Sepatutnya kita buat kajian mendalam mengapakah perkara ini berlaku dan bukannya terus lantang meminta pimpinan tertinggi letak jawatan dan sebagainya.

“Ini seperti beri ubat ‘panadol’ untuk pesakit yang sakitnya lain. Tolong jangan keluarkan kenyataan hanya kerana mahu berkata sesuatu sebaliknya fikir secara rasional,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam satu kenyataan, Zaid mendakwa, PN gagal menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB kerana didakwa tiada sebarang perkara yang ditawarkan untuk masa depan pengundi

Kata beliau, kekalahan tersebut menjadi pengajaran buat PN agar menukar pemimpin mereka yang sudah sangat tua, bukan hanya dari segi umur tetapi juga idea.

Dalam pada itu, kata Santhara, meminta seseorang mengundur atau meletak jawatan jauh lebih senang daripada mencari penyelesaian dengan memberi fokus kepada kelemahan dan kekurangan. -MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top