Giggs nasihat Liga Malaysia perlu lebih kompetitif

Giggs nasihat Liga Malaysia perlu lebih kompetitif


Giggs (tengah) akan berada di Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad. Foto SHEKINAH PR

LEGENDA Manchester United, Ryan Giggs berpandangan bahawa saingan liga di Asia termasuk Liga Malaysia perlu menjadi lebih kompetitif sekiranya mahu melihat peningkatan dari segi kualiti permainan dan pembangunan bola sepak.

Menurutnya, suasana saingan yang sengit setiap minggu yang dipamerkan pasukan merupakan antara elemen penting dalam menjadikan sesebuah liga lebih menarik dan berkualiti.

“Ya, persaingan itulah yang anda perlukan, minggu demi minggu. Kini anda boleh lihat dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), kualitinya begitu tinggi berbanding dahulu.

“Mungkin sebelum ini hanya dua atau tiga pasukan yang kuat, tetapi kini banyak pasukan yang mampu mengalahkan satu sama lain.

“Itulah yang diperlukan dalam liga domestik iaitu liga yang kompetitif,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena kehadirannya ke Malaysia menjelang perlawanan antara Manchester United menentang pasukan ASEAN All Stars pada 28 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam pada itu, beliau berkata, kekuatan pasukan kebangsaan turut dipengaruhi oleh prestasi liga tempatan kerana kedua-duanya saling berkait rapat.

“Jika pasukan kebangsaan menunjukkan prestasi yang baik, ia secara tidak langsung akan meningkatkan kualiti bola sepak negara.

“Daya saing yang tinggi dalam liga, dengan gabungan pemain tempatan dan import, amat penting.

“Pemain import boleh membawa ilmu dan pengalaman berbeza yang boleh membantu pasukan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top