Demi memenuhi kriteria sesebuah watak, pelakon versatile, Datuk Remy Ishak sanggup korbankan bentuk badannya yang tegap menjadi kurus dalam masa yang singkat.
Kata Remy atau Muhammad Zalimei Ishak, dia kini sedang mengamalkan diet secara vegan dan bersenam untuk memenuhi kehendak watak seorang lelaki pada era 50-an dalam filem, Khadam.
“Saya bakal menjalani penggambaran filem Khadam pada pertengahan September ini. Pengarah meminta saya untuk menurunkan berat badan supaya dapatkan penampilan lelaki era 50-an itu.
“Lelaki pada zaman itu rata-ratanya berbadan kurus. Jadi saya perlu nampak susut supaya dapat meyakinkan penonton.
“Selepas berbincang dengan pengarah, saya bersetuju untuk kurangkan berat badan. Jadi, saya sudah mula mengamalkan diet secara vegan dan bersenam setiap hari sejak sebulan yang lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya mengenai sasaran berat badan yang ingin dicapai, pelakon berusia 43 tahun itu memaklumkan dia perlu menurunkan sebanyak enam kilogram (kg) mengikut keseimbangan metabolisme dan usianya.
“Saya perlu menurunkan berat badan saya sekurang-kurangnya sehingga 79 kg. Sebelum ini, berat badan saya 85 kg.
“Walaupun jumlah yang perlu diturunkan tidak banyak, tetapi susah untuk saya melakukannya kerana usia saya pun sudah 43 tahun. Jadi, metabolisme saya itu sudah rendah.
“Sekarang pun saya takut mahu timbang berat badan saya kerana takut kecewa dan tidak boleh terima kenyataan. Tetapi saya sudah boleh rasakan perubahannya pada badan saya,” kongsinya.
Tidak Jadi Berehat
Pernah menyatakan hasratnya untuk berehat seketika dari industri lakonan, Remy mengakui berat hatinya untuk menolak tawaran membintangi filem hasil penulisan skrip, Fariza Azlina Isahak.
Kata Remy, jalan ceritanya yang menarik dan unik membuatkan dirinya tidak teragak-agak mengetepikan hasrat untuk berehat terlalu lama.
“Memang betul saya memilih untuk berehat sebelum ini. Tetapi rugi jika saya menolak tawaran ini kerana setiap kali saya selak helaian skrip itu saya boleh rasa mesej yang ingin disampaikan.
“Bukan nak kata apa, sesetengah cerita yang ada di Malaysia ini cara penyampaiannya tidak bagus. Tapi, saya rasa naskhah ini berbeza dengan cerita seram yang lain. Untuk Khadam, penulisannya dan kualitinya lain.
“Pada saya, naskhah ini ‘barang baik’ untuk saya terlibat. Tambah pula saya bakal digandingkan dengan seorang pelakon hebat Indonesia, Aghniny Haque membuatkan saya lebih sukar untuk tidak menolaknya,” jelasnya.
Sebelum ini, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu meluahkan kekecewaannya terhadap sesetengah pelakon yang tidak serius dalam menggalas tanggungjawab sebagai anak seni.
“Sukar untuk mencari pelakon yang betul-betul serius dan bersedia dalam lakonan seperti Aghniny. Kebanyakan pelakon tempatan yang saya jumpa sekarang bukan sahaja mengejar populariti, tapi terlalu memikirkan penampilan di skrin sahaja.
“Kalau rupa paras ada, tetapi rasa itu tidak sampai takkan ke mana. Mempunyai pengikut yang ramai di media sosial pun tidak menjamin seseorang itu kekal relevan.
“Berlakon ini hadir dengan tanggungjawab. Saya bersyukur walaupun pengikut di media sosial tidak ramai, tapi saya masih diminati oleh semua lapisan umur,” ujarnya.