Chen Tang Jie (kanan) dan Toh Ee Wei gagal mara ke pusingan akhir Terbuka India. FOTO: BERNAMA
BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi satu lagi pasangan negara yang terkandas di peringkat separuh akhir Terbuka India pada Sabtu.
Tang Jie-Ee Wei yang dianggap sebagai pilihan untuk melangkah ke perlawanan akhir terpaksa akur tewas kepada wakil Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dalam aksi straight set.
Kesilapan demi kesilapan pukulan dilakukan pasangan negara itu jelas memakan diri apabila dijinakkan pada set pertama 21-17.
Pada set kedua, Gicquel-Delrue yang berada di ranking ke-12 dunia tidak memandang kebelakang untuk meraih kemenangan 21-15.
Kekalahan pada perlawanan itu dalam tempoh 42 minit cukup menghampakan buat Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking ketiga dunia dalam usaha mereka mara ke final pertama tahun ini.
Gicquel-Delrue akan menentang pasangan dari China yang berada di kedudukan kedua dunia Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada perlawanan akhir pada Ahad.
Sebelum ini, dua lagi perlawanan separuh akhir membabitkan wakil negara menyaksikan Pearly Tan-M Thinaah tewas kepada wakil dari Korea Selatan, Kim Hye Heong-Kong Hee Yong manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai turut gagal mara ke final selepas ditundukkan Zhen Bang-Wei Ya Xin.