razis@mediaprima.com.my
Menerajui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang berperanan sebagai agensi utama yang memungut, mentafsir dan menyebar perangkaan bertepatan masa dan terkini bagi menilai prestasi ekonomi dan pembangunan sosial negara bukan tugas yang mudah bagi Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Sepanjang tempoh lapan tahun Mohd Uzir menggalas tugas sebagai Ketua Perangkawan Malaysia, landskap perkhidmatan statistik negara mengalami pelbagai transformasi yang signifikan untuk memastikan penghasilan statistik yang relevan, tepat dan berintegriti.
Di sebalik kesibukannya bergelumang dengan data dan statistik yang menjadi nadi kepada pembangunan negara, penulis berpeluang menemu bual Mohd Uzir untuk menyelami pengalaman peribadinya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan yang dilihat sebagai satu perjalanan spiritual yang menguji ketahanan, disiplin dan keinsafan.
• Pengalaman yang Datuk Seri Dr tidak dapat dilupakan ketika berpuasa?
• Salah satu pengalaman paling mencabar, tetapi penuh makna bagi saya ialah ketika berpuasa di luar negara sebagai pelajar. Dengan waktu siang yang lebih panjang dan cuaca yang berbeza, cabarannya memang terasa. Kadang-kadang berbuka puasa hanya dengan roti dan air kerana waktu kelas yang padat. Namun, pengalaman berbuka bersama rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang budaya menjadikan momen itu sangat istimewa. Kami berkongsi makanan dari negara masing-masing, menjadikan suasana Ramadan lebih meriah walaupun jauh daripada keluarga.
Lain pula cabarannya ketika bertugas sebagai Ketua Perangkawan Malaysia. Kadangkala, kesibukan tugas menyebabkan saya terpaksa berbuka secara ringkas di pejabat sebelum meneruskan kerja. Antara pengalaman yang paling bermakna bagi saya ialah berbuka puasa bersama anggota DOSM di negeri. Suasana berbuka bersama mereka memberi peluang untuk saya merapatkan hubungan dengan warga DOSM secara lebih dekat, mendengar luahan serta memahami usaha dan jerih perih warga DOSM mendepani cabaran ketika menjalani pengoperasian rutin kerja di lapangan demi memastikan kelangsungan dalam sistem penyampaian perkhidmatan statistik negara yang berkesan tanpa batas waktu.
Namun, pengalaman berpuasa ketika kecil masih berbekas di hati saya dan meninggalkan kesan yang mendalam. Saya datang daripada keluarga yang serba sederhana. Semua persiapan untuk berbuka dan bersahur dibuat sendiri. Saya masih ingat bagaimana arwah ibu dan ayah mengajar saya mengopek kelapa sendiri untuk dijadikan santan dalam masakan. Ketika itu, tidak ada kemudahan seperti yang ada sekarang dan semuanya perlu dilakukan dengan tangan sendiri.
Saya dibesarkan dalam suasana tidak ada bekalan elektrik dan air bersih. Mandi air kolam dan memasang lampu gasolin antara kenangan yang masih terpahat. Pada Ramadan, pastinya aktiviti membeli ketulan ais daripada kilang ais di pekan Sabak Bernam dan dijual kepada orang kampung menjadi kenangan.
Ais yang dibeli diletakkan habuk papan yang diketam supaya ia lebih tahan lama. Apabila tibanya malam Ramadan pula, permainan meriam buluh dan meriam besi bersama rakan-rakan sudah menjadi kemestian. Masing-masing berlawan meriam yang paling kuat dentumannya.
Kesederhanaan itu mendidik saya untuk lebih bersyukur dan menghargai setiap nikmat yang diberikan. Pengalaman ini juga membentuk karakter saya dalam kepimpinan dan ketelitian yang saya bawa dalam kerjaya sebagai Ketua Perangkawan Malaysia, Alhamdulillah untuk tahun kelapan.
• Pada usia berapa Datuk Seri Dr mula berpuasa penuh?
• Saya mula berpuasa penuh pada usia tujuh tahun. Masa itu, rasa bangga sangat apabila berjaya habiskan puasa satu hari. Keluarga memang galakkan sejak kecil, jadi lama-kelamaan ia jadi kebiasaan.
• Apakah juadah wajib yang mesti ada di meja berbuka?
• Kurma dan air kosong mesti ada. Tapi kalau nak ikut selera, serawa durian dan pecal memang kegemaran saya sejak dulu. Gabungan rasa manis, lemak dan sedikit pedas menjadikan hidangan ini begitu istimewa selain mengimbau kenangan berbuka puasa di kampung bersama keluarga. Setiap suapan mengimbau kembali nostalgia saat menikmati juadah air tangan arwah ibu yang menyediakan semuanya dengan penuh kasih sayang.
• Bazar Ramadan kegemaran Datuk Seri Dr dan mengapa?
• Saya bukanlah pengunjung tetap ke bazar Ramadan, tetapi saya amat menyambut baik pertambahan bazar setiap tahun kerana ia dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan. Bazar Ramadan bukan sekadar tempat untuk mendapatkan juadah berbuka, tetapi juga menjadi platform penting bagi usahawan kecil untuk menjana pendapatan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. Saya juga melihat bazar Ramadan sebagai cerminan trend ekonomi rakyat yang sering saya analisis dalam peranan saya sebagai Ketua Perangkawan.
• Memori yang tidak dapat dilupakan Datuk Seri Dr bersahur ketika kanak-kanak?
• Dahulu, setiap kali sahur, saya selalu mengantuk. Kadangkala makan pun dalam keadaan separuh sedar. Pernah sekali, saya tertidur sambil pegang sudu di tangan. Arwah ibu terpaksa kejut banyak kali supaya saya sempat makan sebelum imsak. Sahur ketika itu juga tidak mewah. Kadangkala hanya berlaukkan ikan kering dan nasi, tetapi cukup untuk memberikan tenaga sepanjang hari.
• Sajian paling disukai ketika bersahur?
• Saya suka makanan yang ringkas tapi mengenyangkan. Kurma dan air mineral sahaja mencukupi. Ini antara pilihan saya supaya ada tenaga sepanjang hari.
• Apakah cabaran terbesar Datuk Seri Dr ketika berpuasa (ketika kanak-kanak)?
• Dahaga. Ketika kecil, saya suka main di luar rumah. Apabila dah berpeluh dan letih, godaan air sirap sejuk dalam peti sejuk memang kuat. Tapi, kena tahan sebab tak nak kalah.
• Makanan yang Datuk Seri Dr cuba dielakkan sepanjang Ramadan dan mengapa?
• Saya bukanlah terlalu memilih makanan kerana hampir semua juadah saya nikmati. Cuma, saya cuba elakkan makanan yang terlalu berminyak atau terlalu manis, supaya badan tak cepat letih. Yang penting, saya pastikan ada keseimbangan iaitu makan dengan sederhana dan teruskan berjoging supaya badan tetap cergas. Apabila berbuka dengan makanan yang lebih sihat, badan rasa lebih segar dan saya dapat terus beribadah dengan lebih bertenaga.
• Bagaimana sambutan Ramadan Datuk Seri Dr kali ini? Adakah ia berbeza dengan tahun sebelumnya?
• Alhamdulillah, Ramadan kali ini tetap bermakna, meskipun sedikit berbeza daripada tahun sebelumnya. Rutin Ramadan masih sama namun kali ini saya berpuasa di luar negara kerana menghadiri 56th Session of the United Nations Statistical Commission (UNSC 56) di New York. Menghayati Ramadan di New York memberi pengalaman baharu terutama dalam menyesuaikan diri dengan suasana dan jadual waktu berbuka serta sahur yang berbeza. Saya juga berpeluang menunaikan solat tarawih dan meneruskan Jalan-Jalan Ziarah Masjid di sekitar New York yang memberikan kesempatan untuk mengenali lebih dekat komuniti Muslim di sini serta mendalami budaya masyarakat setempat. Walaupun jauh dari tanah air, saya tetap memastikan penyediaan data dan laporan berkaitan ekonomi Ramadan berjalan lancar. Ini penting bagi membantu kerajaan serta rakyat memahami corak perbelanjaan sepanjang bulan mulia ini. Kesempatan ini mengingatkan saya bahawa Ramadan bukan sekadar lokasi, tetapi lebih kepada bagaimana kita menghayatinya dengan penuh keinsafan dan keberkatan.
• Apakah perubahan positif yang Datuk Seri Dr harapkan supaya dapat diteruskan selepas Ramadan?
• Ramadan mengajar kita bahawa perubahan itu mungkin yang tinggal hanya usaha untuk melazimkannya. Ramadan sebenarnya membuktikan bahawa kita semua mampu untuk berubah, melakukan lebih banyak kebaikan, meningkatkan disiplin diri dan membentuk tabiat yang lebih baik terutamanya dalam rutin kehidupan seharian. Ada antara kita melihat Ramadan ini sebagai bulan transisi untuk berubah sementara, maklumlah tempoh waktu 30 hari.
Namun, bulan ini juga peluang keemasan untuk membiasakan diri dengan amalan yang lebih positif. Saya sendiri berharap disiplin dan momentum Ramadan ini tidak terhenti di sini. Selain memperbanyakkan ibadah, kita juga boleh terus mengamalkan sabar, bersedekah, menjaga kesihatan dan mengawal emosi. Ini semua bukan hanya untuk sebulan, tetapi sepanjang hayat. Sebagai individu, kita sebenarnya berupaya untuk berbuat banyak kebaikan cuma perlukan kesungguhan untuk istiqamah.
Sebagai Ketua Perangkawan Malaysia, saya melihat Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga simbol kecekapan, ketelusan, dan amanah sebagai nilai yang sangat penting dalam sistem penyampaian perkhidmatan statistik negara. Sama seperti kita memperbaiki diri dalam Ramadan, sistem penyampaian perkhidmatan juga perlu ditambah baik supaya lebih telus, cekap dan berkesan. Data yang disediakan bukan sahaja perlu tepat dan komprehensif, tetapi juga mudah diakses serta relevan dengan keperluan rakyat dan pembuat dasar.
Semoga Ramadan ini bukan sahaja menjadi titik perubahan dalam kehidupan kita secara peribadi, tetapi juga menjadi inspirasi untuk memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan statistik demi kesejahteraan rakyat.
• Apakah kenangan paling berharga ketika solat tarawih?
• Suasana yang tenang, bacaan imam yang merdu dan rasa ukhuwah sesama jemaah sangat mendamaikan. Ketika saya Jalan-Jalan Ziarah Masjid, saya juga dapat merasai keunikan solat tarawih di pelbagai masjid yang mempunyai seni bina dan cara penyampaian yang berbeza, menjadikan pengalaman itu lebih istimewa.
• Apa petua kesihatan diamalkan sepanjang Ramadan?
• Saya pastikan minum air yang cukup dan kurangkan makanan berat ketika berbuka. Selain itu, saya juga mengekalkan rutin berjoging setiap pagi dan petang untuk memastikan tubuh kekal aktif dan segar sepanjang Ramadan.
Disiplin dalam menjaga kesihatan ini juga saya terapkan dalam kehidupan seharian termasuk keseimbangan antara kerja dan rehat.
• Datuk Seri Dr lebih suka berbuka puasa di rumah atau di luar? Mengapa?
• Saya lebih suka berbuka di rumah. Suasananya lebih tenang dan dapat berkumpul dengan keluarga. Lagipun, hidangan di rumah lebih sihat dan mengenyangkan.
• Bagaimana persiapan Aidilfitri Datuk Seri Dr sekeluarga tahun ini?
• Kami buat persiapan sederhana tetapi bermakna. Paling penting, dapat bersama keluarga dan meraikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.
• Di mana Datuk Seri Dr sekeluarga akan menyambut Aidilfitri?
• Tahun ini, saya akan balik kampung untuk beraya dengan keluarga besar. Tiada ada yang lebih menggembirakan selain berkumpul bersama insan tersayang selepas sebulan berpuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd