Gol Arif bawa SK Serdang UPM julang kejuaraan B-12

Gol Arif bawa SK Serdang UPM julang kejuaraan B-12


Pemain SK Serdang UPM meraikan kejayaan merangkul edisi sulung kejuaraan B-12 selepas menundukkan SK Taman Melati 1-0 di padang SK Bandar Baru, Kuala Selangor pada Khamis.

SEKOLAH Kebangsaan (SK) Serdang UPM mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara sulung Kejohanan Bawah 12 Tahun (B-12) selepas menundukkan SK Taman Melati 1-0 di padang SK Bandar Baru, Kuala Selangor pada Khamis.

Gol tunggal kemenangan dijaringkan Muhammad Arif Mohd Radzuan pada minit ke-18, sekali gus mengesahkan kejuaraan bersejarah buat pasukan bimbingan Muhammad Amir Fiqrie itu.

“Kami sangat gembira dinobatkan sebagai pemenang pertama Kejohanan B-12. Ia satu pencapaian bersejarah untuk sekolah kami,” ujar Amir Fiqrie.

Tambahnya, kemenangan itu lebih manis apabila dicapai dalam keadaan sukar selepas tiga pemain utama mengalami kecederaan menjelang perlawanan akhir.

“Kami terpaksa ubah pelan permainan saat akhir, tetapi semua pemain menunjukkan semangat juang luar biasa dan kekal berdisiplin. Kemenangan ini milik seluruh pasukan,” katanya.

Beliau turut memuji penganjuran kejohanan itu yang dianggap sebagai platform terbaik menggilap bakat muda serta pendedahan kompetitif kepada pemain peringkat sekolah.

“Pertandingan ini sangat kompetitif kerana menghimpunkan juara daerah. Kami berharap edisi ini diteruskan pada tahun depan,” tambahnya lagi.

Sementara itu, SK Putrajaya Presint 9 (2) meraih tempat ketiga selepas menewaskan SK Sultan Hisamuddin Alam Shah 3-1 menerusi sepakan penalti, selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar.

Kejohanan edisi pertama itu berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober, dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sebanyak 16 pasukan bertanding menghimpunkan juara daripada Majlis Sukan Daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dalam format sembilan sebelah, dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke peringkat kalah mati.

Tuan rumah Selangor diwakili 10 pasukan, diikuti Kuala Lumpur (4) dan Putrajaya (2).

KEJOHANAN B12 TAHUN

KEPUTUSAN

AKHIR

SK Taman Melati 0-1 SK Serdang UPM

TEMPAT KETIGA-KEEMPAT

SK Putrajaya Presint 9 (2) 0 (3) – 0 (1) SK Sultan Hisamuddin Alam Shah

 

 

Ringkasan AI

  • SEKOLAH Kebangsaan (SK) Serdang UPM menjadi juara sulung Kejohanan Bawah 12 Tahun selepas mengalahkan SK Taman Melati 1-0
  • Gol kemenangan dijaringkan oleh Muhammad Arif Mohd Radzuan pada minit ke-18
  • Pasukan ini berjaya mencapai kemenangan meskipun menghadapi kesukaran akibat tiga pemain utama yang cedera
  • Kemenangan ini dipersembahkan kepada seluruh pasukan sebagai hasil usaha gigih dan disiplin
  • Kejohanan ini dianjurkan bersama oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia dengan penyertaan 16 pasukan dari Selangor dan Wilayah Persekutuan



Source link

OR

Scroll to Top