Gol yang dilakukan oleh Garnacho ketika menentang Everton dinobatkan sebagai gol tercantik anugerah Puskas.
GOL akrobatik yang dijaringkan oleh pemain Manchester United, Alejandro Garnacho ketika menentang Everton telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2024.
Jaringan Garnacho itu yang dilakukan pada November tahun lalu menewaskan 10 lagi calon lain dalam anugerah gol tercantik tersebut.
Garnacho melakukan jaringan tersebut selepas menerima hantaran lintang Diogo Dalot untuk menewaskan penjaga gol Everton, Jordan Pickford.
“Saya tidak percaya sejujurnya. Saya tidak nampak bagaimana saya menjaringkan gol. Ia mungkin salah satu gol terbaik saya musim ini.
“Saya sangat gembira. Saya katakan ia sama seperti gol Wayne Rooney,” katanya selepas menjaringkan gol tersebut.
Garnacho menamatkan musim lalu dengan sepuluh gol dalam semua pertandingan dan pada musim ini dia sudah meledak lapan gol.
Ia adalah kali kelima dalam 15 tahun gol Puskas dicipta dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas Olivier Giroud (2017), Mohamed Salah (2018), Son Heung-min (2020) dan Erik Lamela (2021).