Gol Kane elak England dimalukan

Gol Kane elak England dimalukan


Kane (kanan) meledak gol kemenangan England ketika menentang Andorra. FOTO: AFP

ENGLAND mengekalkan rentak kemenangan dalam aksi kelayakan Piala Dunia mereka dengan kemenangan tipis 1-0 manakala Austria dan Belanda memulakan kempen mereka dengan kemenangan pada Ahad.

Gol ke-72 Harry Kane di peringkat antarabangsa memastikan England terhindar daripada malu besar apabila hampir gagal menewaskan Andorra.

Malah, pasukan bimbingan Thomas Tuchel itu menerima sorakan negatif di Barcelona selepas bergelut untuk mempamerkan persembahan meyakinkan menentang pasukan yang berada di ranking ke-173 dunia tersebut.

Tuchel menjadi pengurus England pertama yang memenangi tiga perlawanan kompetitif pertamanya tanpa bolos.

Namun, memandangkan kualiti lawan yang rendah iaitu Andorra, Latvia dan Albania dalam saingan Kumpulan K, pencapaian itu dirasakan kurang bermakna selepas aksi hambar yang dipamerkan.

“Saya tidak gembira dengan persembahan ini. Kami hilang momentum sepenuhnya dan gagal mendapatkannya semula. Kami berakhir di tempat yang tidak cukup bagus dari segi kesungguhan.

“Kami harus mengakui ini bukan tahap yang dijangkakan. Apa yang paling membimbangkan saya ialah 20 minit terakhir kerana saya tidak suka sikap yang ditunjukkan ketika menamatkan permainan.

“Saya tidak suka kurangnya rasa keinginan untuk menang. Ia tidak sepadan dengan perlawanan ini. Ini masih lagi aksi kelayakan Piala Dunia,” kata Tuchel.

England kini mendahului Kumpulan K dengan lima mata selepas tiga perlawanan apabila Albania yang di tempat kedua hanya seri 0-0 menentang Serbia di laman sendiri.

Rey Manaj dari Albania mensia-siakan sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa pertama.

Serbia merupakan salah satu daripada tiga pasukan yang bermain perlawanan kelayakan pertama mereka pada hari Ahad selepas terlibat dalam playoff Liga Negara-Negara.

Belanda pula memulakan kempen mereka dengan kemenangan bergaya 2-0 ke atas Finland di Helsinki dan kini menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan G, mengatasi Lithuania dan Malta yang terikat 0-0.

Belanda kini satu mata di belakang Finland dan tiga mata di belakang pendahulu, Poland yang tidak bermain.

Marcel Sabitzer dan Michael Gregoritsch masing-masing menjaringkan gol ketika Austria menewaskan Romania 2-1 di Vienna.

Florin Tanase menjaringkan gol sagu hati masa tambahan untuk pelawat yang telah mensia-siakan beberapa peluang di penghujung permainan.

Bosnia-Herzegovina mendahului Kumpulan H dengan sembilan mata selepas Edin Dzeko menjaringkan satu-satunya gol dalam kemenangan 1-0 ke atas San Marino.



Source link

OR

Scroll to Top