Gol kedua Yob ‘musnahkan’ kami – Josep Ferre

Gol kedua Yob ‘musnahkan’ kami – Josep Ferre


PENGENDALI Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2), Josep Ferre menyifatkan gol kedua Perak FA seawal babak kedua, memusnahkan harapan skuad kendaliannya itu bagi meraih tiga mata berharga di laman sendiri apabila tewas 1-2 pada aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), pada Sabtu.

Ferre berkata, gol kedua itu juga dilihat telah meragut semangat kesebelasan skuad kendaliannya itu untuk bangkit pada perlawanan berkenaan.

“Mereka (Perak FA), menjaringkan gol (kemenangan) hasil daripada sepakan percuma susulan kekasaran yang didakwa berlaku.

“Bagaimanapun, kekasaran itu mungkin boleh dipersoalkan kerana ia merupakan kesalahan yang sama berlaku ketika perlawanan dengan Seoul Phoenix sebelum ini.

“Lagi pun, memang sukar ketika berdepan dengan pasukan yang mengamalkan corak permainan bertahan dengan meletakkan sembilan hingga 10 pemain,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Perak FA berjaya merobek gawang JDT 2 pada minit ke-22 menerusi kapten, Kamal Arif Azrai Shaimar, namun jaringan tersebut dibatalkan pengadil Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana Kamal Arif Azrai didapati ofsaid terlebih dahulu.

Bagaimanapun, penyerang Perak FA, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli mengejutkan JDT 2 menerusi jaringan pada minit ke-32 sebelum pemain import, Celso Jose menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-37.

Sebaik permainan bersambung pada babak kedua, Perak FA sekali lagi merobek gawang JDT 2 pada minit ke-46 menerusi jaringan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi yang sekali gus merupakan gol kemenangan skuad Kejor Yob Kejor itu.

Sementara itu, Ferre mahu kesebelasan JDT 2 kembali bangkit menjelang aksi berdepan Machan FC, Jumaat ini.

Katanya, perlawanan itu penting dan kesebelasan pemain perlu mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan dan meraih tiga mata berharga.

“Perlawanan menentang Machan FC ini perlu dimenangi dan pemain perlu ingat, mereka bukan lagi bermain dalam liga yang dibarisi pemain bawah 23 tahun, tetapi turut dibarisi pemain senior dan juga pemain import.

“Oleh itu, mereka perlu beraksi di tahap tertinggi bagi memastikan kejayaan pasukan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pengendali Johor Darul Ta’zim 2, Josep Ferre menyatakan gol kedua Perak FA meragut semangat skuadnya
  • Gol kemenangan Perak FA datang daripada sepakan percuma akibat kekasaran
  • Permainan bertahan Perak FA dengan 9-10 pemain sukar diatasi
  • Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli dan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi masing-masing menjaringkan untuk Perak FA
  • Ferre menekankan kepentingan perlawanan seterusnya menentang Machan FC untuk kembali bangkit



Source link

OR

Scroll to Top