Julian Quinones (kiri) meraikan kejayaan bersama Israel Reyes selepas menjaringkan gol pembukaan menentang Afrika Selatan. – Foto Agensi
PENYERANG Mexico, Julián Quiñones mencatat sejarah sebagai pemain pertama yang menjaringkan gol pada Piala Dunia 2026 apabila meledak jaringan seawal minit kesembilan dalam perlawanan pembukaan menentang South Africa pada 12 Jun.
Gol hasil rembatan rendah yang menewaskan penjaga gol Ronwen Williams itu memberikan Mexico pendahuluan awal di hadapan lebih 80,000 penyokong di Estadio Azteca.
Jaringan tersebut merupakan gol pertama kejohanan dan antara gol pembukaan terpantas dalam sejarah Piala Dunia, yang paling awal sejak Philipp Lahm menjaringkan gol pada minit keenam ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia 2006.
Prestasi cemerlang Quiñones diteruskan selepas musim luar biasa bersama Al Qadsiah dalam Liga Pro Saudi 2025/26.
Penyerang berusia 29 tahun itu menjaringkan 33 gol dalam 31 perlawanan, sekali gus mengatasi Cristiano Ronaldo yang meledak 28 gol bersama Al Nassr untuk muncul sebagai penjaring terbanyak liga.
Perlawanan pembukaan itu berlangsung dalam suasana tegang apabila tiga kad merah dilayangkan.
Dua pemain Afrika Selatan dibuang padang, manakala Mexico turut kehilangan seorang pemain pada penghujung perlawanan. Namun, tuan rumah tetap menguasai permainan dan menambah jaringan menerusi Raúl Jiménez pada minit ke-67 untuk melakar kemenangan 2-0.
Mengikut jadual Kumpulan A, Mexico akan meneruskan cabaran menentang Korea Selatan pada 19 Jun sebelum berdepan Republik Czech pada 25 Jun.
Kemenangan ke atas Afrika Selatan meletakkan pasukan kendalian Javier Aguirre di tangga teratas kumpulan buat sementara waktu.





