SKUAD Harimau Malaya mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Kejuaraan Piala ASEAN 2026 selepas menewaskan Filipina 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Turun dengan misi wajib menang, barisan kendalian ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe mempamerkan aksi bertenaga, disuntik sorakan padu penyokong berbaju hitam kuning yang membanjiri stadium berkapasiti 18,000 penonton itu.
Sorakan penyokong tuan rumah bergema pada minit ke-16 apabila hantaran Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal ke dalam kotak penalti disambut tandukan kemas G Pavithran untuk meletakkan Malaysia di depan 1-0.
Jaringan itu menyuntik semangat Harimau Malaya untuk terus menguasai permainan, manakala skuad kendalian Carles Cuadrat cuba meningkatkan tekanan bagi memburu gol penyamaan, namun gagal menembusi benteng tuan rumah sehingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, Filipina tampil lebih agresif dalam usaha menyamakan kedudukan, namun benteng pertahanan Harimau Malaya yang diketuai kapten Paulo Josue kekal kental untuk mengekang setiap asakan lawan.
Pavithran hampir menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-85, namun gagal menyudahkan hantaran leret rakan sepasukan di hadapan gawang selepas gerakannya disekat pertahanan Filipina, Jaime Rosquillo.
Keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Malaysia mengumpul sembilan mata untuk menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua dan mengesahkan tiket ke separuh akhir bersama juara kumpulan Thailand yang mengumpul 12 mata.
Terdahulu, skuad Gajah Perang menewaskan Myanmar 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B.
Malaysia seterusnya bakal berdepan juara bertahan Vietnam, yang muncul juara Kumpulan A, dalam aksi separuh akhir secara timbal balik yang dijadualkan berlangsung pada 16 dan 19 Ogos ini.- Bernama






