Charlotte, North Carolina: Penyerang Benfica, Andreas Schjelderup menjaringkan gol pada separuh masa pertama untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Bayern Munich dalam cuaca panas terik, awal pagi tadi, sekali gus meletakkan pasukan dari Portugal itu di puncak Kumpulan C dalam saingan Piala Dunia Kelab.
Selepas mencatat kemenangan pertama ke atas Bayern, Benfica akan menentang Chelsea atau Esperance de Tunis di pusingan 16 terakhir. Bayern, yang menamatkan saingan di tempat kedua, dijadualkan bertemu pendahulu Kumpulan D, Flamengo.
“Saya rasa separuh masa pertama kami memang tidak bagus langsung. Dengan keadaan padang dan cuaca panas, saya sudah menjangka permainan tidak akan berjalan lancar seperti biasa.
“Beginilah bola sepak. Kalau anda ada peluang tapi tak ambil, anda akan terima padah… (menentang Flamengo) akan jadi perlawanan yang sukar. Tapi kami tahu kami boleh mencipta peluang,” kata jurulatih Bayern, Vincent Kompany kepada DAZN.
Schjelderup memecah kebuntuan pada minit ke-13 apabila menyempurnakan hantaran lintang rendah dari kanan oleh Fredrik Aursnes menerusi satu sentuhan serta memanfaatkan kelekaan barisan pertahanan Bayern.
Dengan Bayern sudah pasti mara ke pusingan seterusnya, barisan pemain simpanan yang diturunkan tampak kurang bersemangat dan gagal mencatat sebarang percubaan tepat ke gawang pada separuh masa pertama.
Juara Jerman itu menunjukkan peningkatan selepas rehat dan Joshua Kimmich menyangka dia sudah menyamakan kedudukan, namun jaringannya dibatalkan kerana Harry Kane berada dalam kedudukan ofsaid sejurus selepas sejam permainan.
Penjaga gol Benfica, Anatoliy Trubin memainkan peranan penting dalam mengekalkan kelebihan, melakukan beberapa aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan cubaan Aleksandar Pavlovic dan Leroy Sane.
“Ia satu perlawanan yang hebat menentang pasukan yang luar biasa, tapi bukan saya seorang saja, ia usaha seluruh pasukan,” kata Trubin, yang dinamakan pemain terbaik perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd