Gol Svensson pastikan Dortmund konsisten cemerlang di Piala Dunia Kelab

Gol Svensson pastikan Dortmund konsisten cemerlang di Piala Dunia Kelab


JARINGAN tunggal Daniel Svensson pada separuh masa pertama sudah cukup untuk mengesahkan tempat Borussia Dortmund ke pusingan 16 Piala Dunia Kelab, apabila mereka mencatat kemenangan 1-0 ke atas kelab Korea Selatan, Ulsan HD, di Stadium TQL Cincinnati, Ohio pada Khamis.

Pasukan Bundesliga Jerman itu mendominasi sejak awal dengan trio serangan Jobe Bellingham, Felix Nmecha, dan Karim Adeyemi mengasak gawang Ulsan dalam minit-minit awal.

Gol pembukaan akhirnya tiba pada minit ke-36 apabila hantaran Bellingham kepada Svensson, dijelmakan dalam bentuk gol pemain Sweden itu.

“Saya sangat gembira kerana Borussia Dortmund berjaya mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol berbanding dua perlawanan lain. Ini adalah objektif keseluruhan kami.

“Saya fikir kami mendominasi perlawanan dan kami mencipta begitu banyak peluang hebat,” kata pemain tengah Dortmund, Svensson selepas perlawanan.

Penjaga gol Ulsan, Jo Hyeon-woo, berjaya menghalang Dortmund daripada menambah gol pada separuh masa pertama, menghasilkan penyelamatan cemerlang untuk menampan tandukan padu Serhou Guirassy.

Ulsan kemudian meningkatkan permainan selepas rehat, mencari ruang ketika mereka memburu gol penyamaan.

Percubaan Lee Jin-hyun dari sudut sukar di sebelah kiri berjaya diselamatkan penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel, pada minit ke-60.

Walaupun tekanan berterusan, Dortmund gagal menemui jaring menyaksikan percubaan Julien Duranville tersasar, dan Jo berjaya menahan cubaan Yan Couto pada minit-minit akhir.

“Kami hanya menjaringkan satu gol kerana pasukan Korea itu mempunyai penjaga gol yang sangat baik. Tetapi secara keseluruhan, saya fikir pasukan saya mendominasi separuh masa pertama,” kata pengendali Dortmund, Niko Kovac.

Tiga mata menyaksikan Dortmund menamatkan saingan di puncak Kumpulan F dengan tujuh mata, dua mata mendahului kelab Brazil, Fluminense, yang berada di tempat kedua selepas seri 0-0 dengan Mamelodi Sundowns.

Juara Afrika Selatan itu menduduki tempat ketiga dalam kumpulan dengan empat mata, manakala Ulsan berada di tangga tercorot selepas tewas kesemua tiga perlawanan mereka.

Dortmund seterusnya akan berdepan naib juara dari Kumpulan E, sama ada River Plate, Inter Milan, atau Monterrey.



Source link

OR

Scroll to Top