MOHD NA’IM melepaskan peserta Taha Run 2025 di Serdang baru-baru ini. Foto FACEBOOK TABUNG HAJI
GOLONGAN muda dinasihatkan untuk membuat perancangan kewangan untuk menabung dalam Lembaga Tabung Haji (TH) dan menjaga kesihatan diri bagi persediaan menunaikan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, amalan menabung secara konsisten menjadi kunci untuk merealisasikan rukun Islam kelima itu pada usia muda.
“Saya berharap semoga semua pendeposit cakna mengenai ibadah haji, sekali gus berazam untuk terus menjaga kesihatan dan kekal sihat untuk menunaikan haji nanti.
“Paling penting, mulakan amalan menabung secara konsisten di TH bermula hari ini supaya dapat menunaikan haji semasa badan masih kuat dan bertenaga,” katanya ketika merasmikan Taha Run 2025 di Serdang baru-baru ini.
Program Taha Run 2025 yang bertemakan ‘Run For A Lifetime Journey’ disertai lebih 1,000 peserta berusia 18 hingga 25 tahun. Larian itu merangkumi dua kategori iaitu tiga dan lima kilometer, bertujuan memupuk kesedaran mengenai tabiat menabung, perancangan kewangan serta gaya hidup sihat. – Bernama
Ringkasan AI
- Golongan muda dinasihatkan untuk menabung di Lembaga Tabung Haji dan menjaga kesihatan untuk persediaan ibadah haji
- Menteri berkata, amalan menabung secara konsisten kunci merealisasikan rukun Islam kelima pada usia muda
- Pendeposit diharap cakna ibadah haji dan berazam menjaga kesihatan untuk nanti
- Mula menabung secara konsisten di Tabung Haji untuk dapat menunaikan haji semasa badan kuat
- Program Taha Run 2025 memupuk kesedaran mengenai menabung, perancangan kewangan dan gaya hidup sihat





