Golongan muda terlalu memilih pekerjaan

Golongan muda terlalu memilih pekerjaan


PETALING JAYA: Sikap terlalu memilih kerja dalam kalangan golongan muda menjadi punca sebahagian industri kekura­ngan tenaga kerja tempatan hingga terpaksa bergantung kepada pekerja asing.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, sikap sangat memilih kerja dalam sebahagian besar golongan muda tidak boleh dinafikan.

Kata beliau, golongan muda didapati mahu memperoleh gaji yang tinggi sejak awal pekerjaan dan mereka berasa tidak berbaloi bekerja sekira­nya diberikan gaji rendah terutama pekerjaan yang menggunakan banyak tenaga atau waktu bekerja panjang.

Jelasnya, golongan muda lebih cenderung memilih kerja yang menawarkan gaji tinggi walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman.

“Selain gaji, gaya hidup dan persepsi sosial juga main pe­ranan besar. Contohnya, kalau kerja di kedai makan, ramai yang lebih suka tempat yang ada jenama besar atau kafe hipster yang nampak lebih trendy.

“Restoran mamak atau wa­rung biasa pula dianggap kurang bergaya, ‘selekeh’ dan tidak sesuai dengan imej yang mereka mahu tunjuk, terutama di media sosial.

“Ada juga yang rasa kerja dalam sektor tertentu tidak ada masa depan atau peluang untuk naik pangkat. Jadi, mereka lebih rela tunggu kerja yang sesuai dengan citarasa mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Media sebelum ini me­laporkan, kepesatan pelaburan dalam pelbagai sektor ekonomi berjaya meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin kukuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara juga akan terus berusaha melahirkan tenaga mahir yang dapat memenuhi keperluan industri.

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, industri perlu melakukan perubahan untuk menarik penyertaan golongan muda tempatan dan memastikan mereka tidak lagi bergantung kepada pekerja asing.

“Gaji lebih baik memang penting tetapi suasana kerja, jenama majikan dan peluang untuk berkembang juga kena ada. Kalau sektor ini nampak lebih menarik, ada masa depan, dan diiktiraf sebagai kerjaya yang stabil, pasti lebih ramai yang akan berminat,” jelasnya.

Beliau berkata, antara penyebab ramai golongan muda tidak berminat untuk mema­suki sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) adalah kerana sektor itu selalu dipandang rendah dan tidak ditonjolkan secara positif.

“Kita banyak disajikan de­ngan cerita kejayaan dalam sektor korporat atau teknologi, tetapi jarang nampak kisah bagaimana pekerja dalam sektor 3D juga boleh berjaya malah mampu jana pendapatan lumayan,” katanya.-UTUSAN.





Source link

OR

Scroll to Top