Golongan muda tolak dakwaan tidak pandai urus kewangan

Golongan muda tolak dakwaan tidak pandai urus kewangan


PETALING JAYA: Golongan muda menolak pandangan bahawa mereka tidak mampu menguruskan kewangan dengan baik sehingga dijadikan alasan untuk mencadangkan skim pengeluaran secara pencen bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut mereka, kenyataan tersebut adalah stereotaip yang merendahkan kemampuan anak muda, sedangkan ramai kini lebih celik kewangan hasil pendedahan awal dan akses kepada maklumat berkaitan pelaburan serta pengurusan wang sejak bangku sekolah.

Seorang belia, Abdul Hakeem Adzra’ai, 25, berkata, pengurusan kewangan tidak hanya bergantung kepada gaji, malah turut dipengaruhi keadaan eko­nomi negara, tekanan sosial dan peluang menyimpan bagi pe­rancangan jangka panjang.

“Kerajaan perlu memperkasakan semula pendedahan pe­ngurusan kewangan dengan le­bih mendalam di peringkat se­kolah bagi memberi kemahiran mengurus wang, apatah lagi generasi muda kini mampu menjana pendapatan melalui platform digital,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 25 September 2021, Kum­pulan Wang Simpanan Pe­kerja (KWSP) menyatakan kebimbangan dengan keselamatan persaraan rakyat Malaysia, apabila 46 peratus ahlinya berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.

Mengikut data dana pencen berkenaan, ketidakcukupan pen­dapatan persaraan ahli-ahli­nya mendapati, peratusan ter­sebut mewakili 5.8 juta ahli, setakat 31 Ogos 2021.

Dalam pada itu, statistik oleh Jabatan Insolvensi setakat Mac 2024 mendapati, seramai 206,066 jumlah kes kebankrapan yang diuruskan oleh jabatan itu dengan golongan muda iaitu umur 35 tahun hingga 44 tahun paling ramai bankrap yang mencatatkan sebanyak 10,489 kes.

Bagi Muhammad Afnan Farihin Samsuri, 24, kemampuan mengurus kewangan bergantung pada ilmu, disiplin dan pengalaman, justeru ramai go­longan muda kini lebih bijak hasil pendidikan serta pendedahan maklumat yang sentiasa tersedia di hujung jari.

“Masih ada yang memerlukan bimbingan serta latihan kewangan bagi lebih bersedia apabila bersara kelak, namun itu tidak wajar dijadikan alasan untuk kerajaan mengawal pengeluaran simpanan persaraan,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, orang muda me­nolak cadangan skim baya­ran pencen secara bulanan bagi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sebaliknya, rata-rata golo­ngan muda yang ditemui Utusan Malaysia mahu skim pengeluaran wang pencen KWSP sedia ada dikekalkan, dengan alasan ia memberi mereka kebebasan untuk merancang kewangan.

Sementara itu, Mursyidah Zainal Arifin, 24, berkata, tanggapan bahawa anak muda tidak pandai mengurus wang terlalu umum kerana ramai kini pandai melabur dan mengurus hutang dengan baik.

Katanya, generasi muda se­karang lebih terdedah kepada info kewangan yang terdapat di internet seperti di aplikasi Tiktok dan ada juga ada di antara mereka yang sudah mula me­nyertai skim pelaburan.

“Untuk zaman sekarang sudah ramai anak muda yang menceburi bidang pelaburan dan saham untuk menjana pendapatan tambahan, maka adalah tidak wajar jika stereotaip itu masih diulang main oleh pihak yang lebih tua,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemuda Ariff Daniel Osmera, 26, menegaskan pandangan tersebut tidak adil kerana isu sebenar ialah kos sara hidup tinggi, gaji rendah dan kurangnya pendidikan kewangan, bukannya kelemahan peribadi anak muda.

“Soal pengurusan kewa­ngan ini adalah di bidang kuasa in­dividu, jika pengurusan kewa­ngan mereka amat lemah sehingga di senarai hitam, pihak kerajaan boleh mewujudkan kelas khas berfokuskan pe­ngurusan kewangan untuk orang-orang sedemikian mendapatkan bantuan pengurusan kewa­ngan,” katanya.

Katanya, generasi muda mampu mengurus wang de­ngan baik sekiranya diberikan pendidikan dan sumber yang betul, justeru cadangan pencen bulanan bukanlah penyelesaian kepada masalah pengurusan kewangan.

Ahli farmasi, Noorfatin Atika Zahid, 28, pula mengakui wujud segelintir anak muda yang boros, namun pengurusan kewangan ini bergantung kepada banyak faktor seperti faktor kekeluargaan dan persekitaran

“Walaupun, ada yang sejak kecil dididik mengenai kese­daran kewangan. Faktor keluarga dan persekitaran sangat mempengaruhi sikap terhadap pengurusan wang pada usia dewasa,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top