Golongan Usrah Dituduh Sokong Jenayah, Lufya Omar Tampil Bidas Netizen – “Jangan Pukul Sama Rata”

Golongan Usrah Dituduh Sokong Jenayah, Lufya Omar Tampil Bidas Netizen – “Jangan Pukul Sama Rata”


Pelakon, Lufya Omar tampil membidas kritikan seorang individu yang didakwa mengaitkan golongan usrah dengan sokongan terhadap tindakan jenayah seorang individu yang kini hangat diperkatakan.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Lufya atau nama lengkapnya, Lutfyah Sheikh Omar, 41, menegaskan adalah tidak wajar untuk memukul rata kesalahan jenayah seseorang sehingga melibatkan pihak lain yang tidak bersalah.

“Janganlah pukul rata kesalahan jenayah orang lain terhadap kami. Kita semua sedang berusaha untuk istiqamah di jalan-Nya. Mudah untuk berhijrah menutup aurat, tetapi tidak mudah untuk kekal istiqamah,” katanya.

Menurut Lufya, kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seorang individu tidak seharusnya mengheret nama pihak lain, apatah lagi mereka yang tiada kaitan langsung dengan perbuatan itu.

“Jangan samakan kesalahan satu individu yang berbuat jenayah sehingga semua nama terpalit. Itu tidak adil. Jangan normalisasikan perbuatan tersebut, tetapi jangan pula membenci orang sekeliling yang tidak bersalah,” jelasnya.

Lufya berkata demikian susulan satu komen yang ditinggalkan seorang individu pada foto melibatkan golongan selebriti dan ustazah yang menyertai program usrah, yang didakwa menyokong jenayah berkenaan.

Hantaran itu turut memaparkan foto isteri kepada pendakwah sensasi, Da’i Syed, iaitu Hana Ismail.

“Ni semua geng-geng rapist-enabler ke? Birds of a feather flock together,” tulis individu berkenaan.

Dalam masa sama, Lufya menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai melampau dan berbahaya kerana boleh mencetuskan salah faham serta fitnah terhadap individu yang tidak terlibat.

“Nauzubillahiminzalik. Isu ini sudah beberapa hari hangat diperkatakan, tetapi saya rasa melampau apabila tiba-tiba menerima komen seolah-olah kami semua penyokong dan terlibat dengan jenayah ini,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top