Penyertaan Leclerc, Hamilton dalam GP F1 China dibatalkan apabila kereta mereka gagal pemeriksaan teknikal selepas perlumbaan pada Ahad. – Foto: Agensi
PENYERTAAN pelumba Ferrari, Charles Leclerc dan Lewis Hamilton dalam Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) China dibatalkan selepas kereta mereka gagal pemeriksaan teknikal selepas perlumbaan pada Ahad.
Kedua-dua pemandu itu menamatkan perlumbaan di tempat kelima dan keenam di Shanghai, namun kereta Leclerc didapati kurang daripada had berat yang ditetapkan, manakala kereta Hamilton dilaporkan kepada steward kerana “tahap hakisan berlebihan pada pelapik bawah kereta”.
Pelumba Alpine, Pierre Gasly yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 turut dibatalkan penyertaannya kerana keretanya berada di bawah berat minimum.
“Semasa pendengaran, wakil pasukan mengakui bahawa tiada keadaan yang boleh meringankan kes ini dan ia adalah kesilapan sebenar oleh pasukan,” menurut kenyataan steward.
Pembatalan itu memberi manfaat kepada pasukan Haas, dengan Esteban Ocon naik ke tempat kelima dan pelumba baharu Oliver Bearman di tempat kelapan.
Pelumba Itali, Andrea Kimi Antonelli, naik ke tempat keenam untuk Mercedes, sementara Alex Albon daripada Williams di tempat ketujuh.
Pembatalan Gasly bermakna Lance Stroll menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan untuk Aston Martin, manakala Carlos Sainz meraih mata terakhir untuk Williams walaupun menamatkan perlumbaan di tempat ke-13. – Bernama