PETALING JAYA: Grab Malaysia bersama rakan kongsinya menghargai dedikasi komuniti rakan pemandu dan penghantar yang telah memberi impak positif kepada masyarakat di seluruh negara.
Dengan tema ‘Kebaikan Dalam Setiap Pesanan’, Grab Malaysia menganjurkan pelbagai inisiatif di bawah kempen #GrabBersamaMalaysia, bertujuan menyemai semangat kebersamaan serta memberi kembali kepada masyarakat.
Lebih 5,500 pek bubur lambuk diedarkan
Sempena bulan Ramadan tahun ini, pasukan Grab Malaysia bersama komuniti rakan pemandu dan rakan penghantar telah memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada lebih 5,500 individu di 17 bandar di seluruh negara.
Inisiatif ini telah dijalankan di 17 bandar termasuk Lembah Klang, Johor Bahru, Negeri Sembilan, Batu Pahat, Kluang, Muar, Melaka, Sungai Petani, Alor Setar, Kuching, Bintulu, Miri, Sibu, Kota Kinabalu, Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.
Membantu kanak-kanak dari Yayasan Islam Darul Ehsan
Di Lembah Klang, Grab bersama GXBank dan komuniti rakan pemandu dan penghantar telah menyediakan bubur lambuk dan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk rakan Grab, keluarga mereka dan kanak-kanak dari Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini dan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), kanak-kanak dari YIDE turut dibawa membeli-belah baju raya baharu untuk Syawal.
Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan keperluan harian dari Jaya Grocer, bagi membantu meringankan beban kewangan terutamanya menjelang hari perayaan.
Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor, berkata usaha ini adalah sebahagian daripada penghargaan Grab kepada komuniti rakan pemandu dan penghantar yang sentiasa berkhidmat untuk masyarakat.
“Sebagai jenama tempatan, kami menghargai komitmen rakan pemandu dan penghantar yang berusaha keras setiap hari.
“Melalui inisiatif seperti agihan bubur lambuk dan bantuan kepada anak-anak yatim dengan baju raya serta keperluan harian, kami berharap dapat menyebarkan kegembiraan bukan sahaja kepada rakan Grab tetapi juga kepada komuniti yang lebih luas,” katanya.
Tambahnya, lebih daripada sekadar penghargaan, inisiatif ini mencerminkan komitmen Grab Malaysia dalam menyokong rakan pemandu dan penghantar di luar tugas mereka serta menyemarakkan hubungan bermakna sepanjang musim perayaan ini.
Program ini sekali lagi mengukuhkan komitmen Grab Malaysia dalam menyebarkan semangat kebersamaan, kesyukuran dan keikhlasan memberi sempena Ramadan dan Syawal.
© New Straits Times Press (M) Bhd