Setiap kali menjelang 31 Ogos, tumpuan jutaan rakyat Malaysia pastinya terarah kepada perbarisan segak anggota tentera, polis, serta petugas barisan hadapan negara yang berarak megah.
Namun di celah-celah kemeriahan itu, tersembunyi sekumpulan wira tidak didendang yang turut melangkah sederap demi menyemarakkan api kemerdekaan.
Kehadiran mereka bukan atas tuntutan tugas rasmi, sebaliknya lahir dari jiwa yang sarat dengan semangat patriotisme.
Selami kisah di sebalik perjuangan empat wira jalanan ini yang perjalanannya mencerminkan kecekalan dan denyut nadi rakyat Malaysia.
Semangat waja melangkaui batasan
Bagi Chang Yoon Khim, berkhidmat sebagai rakan pemandu Grab selama tujuh tahun telah mengubah landskap hidupnya.
Sebagai bapa istimewa (OKU Pendengaran) kepada empat orang anak, Chang pernah menempuh ranjau mencari pekerjaan akibat halangan komunikasi dengan majikan dan rakan sekerja.
Sungguhpun begitu, Grab memberikan kebebasan dan kemandirian kepada Chang untuk mencari rezeki, namun cabaran terbesarnya bukanlah di jalanan tetapi di rumah.
Kisah bermula apabila guru di sekolah menghadapi kesukaran untuk berbincang perihal anak-anaknya sekali gus menyedarkan Chang tentang tanggungjawabnya sebagai bapa.
Dengan hati terbuka, dia mengambil inisiatif untuk mengajar anak-anaknya bahasa isyarat. Dia meluangkan masa untuk mengajar dari ABC hinggalah kepada perbualan harian demi mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Menurut Chang, kehadiran kontinjen Grab dalam perbarisan tahun ini menjadi simbol bahawa rakyat Malaysia, walau apa pun keadaan boleh menyumbang kepada kemajuan negara.
Semangat ini turut membara dalam diri Teong Siew Queen, seorang ibu tunggal dan OKU fizikal.
Baginya, kebebasan mengatur masa sendiri adalah anugerah paling berharga yang tidak pernah dinikmatinya dalam pekerjaan sebelum ini di bahagian khidmat pelanggan.
Di samping menyara keluarga, dia kini dapat menyumbang lebih banyak masa kepada persatuan orang kurang upayanya.
Lebih membanggakan, Teong turut berkhidmat sebagai pengadil sukan para-powerlifting antarabangsa sekali gus membuktikan insan istimewa sepertinya mampu cemerlang di persada dunia.
“Perbarisan ini melambangkan inklusiviti dan menunjukkan rakyat Malaysia dari semua keupayaan tergolong dalam kisah negara kita,” katanya.
Dari meja jurutera ke jalan raya
Pada usia 42 tahun, selepas 12 tahun menabur bakti sebagai seorang jurutera, Mohd Kharizan Md Yusof menerima tamparan hebat apabila diberhentikan kerja semasa pandemik.
Ia adalah satu detik yang sukar, namun dengan hati yang tabah, dia reda dan terus melangkah ke hadapan.
Pekerjaan yang dahulunya hanya sampingan sejak 2015 kini menjadi talian hayat utama.
Melalui Grab, Kharizan bukan sahaja dapat terus membesarkan tiga orang anaknya, malah dapat berbakti kepada ibunya yang memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Selain itu, fleksibiliti yang dinikmati Kharizan juga memberikan ruang untuk dia berkhidmat kepada masyarakat sebagai pengerusi komuniti di kejiranannya.
Kisah Kharizan adalah bukti bahawa kejatuhan bukanlah pengakhiran tetapi permulaan kepada lembaran baharu yang penuh makna.
Perjuangan, kebanggaan ibu tunggal
Bagi Masnizah Marzukir pula, fleksibiliti bukanlah satu kemewahan tetapi satu keperluan mutlak.
Sebagai seorang ibu tunggal yang menjadi tulang belakang kepada tujuh orang anak, pekerjaan sebagai rakan penghantar Grab adalah satu rahmat.
Ia memberikan Masnizah ruang untuk membahagikan masanya bekerja pada syif pagi dan petang dalam masa sama memastikan makan minum dan persekolahan anak-anaknya terjaga.
Lebih membanggakan, perjuangan Masnizah turut menjadi inspirasi kepada dua daripada anaknya yang mengikut jejak langkah mencari rezeki bersama Grab.
Menurut Masnizah, penyertaannya dalam perbarisan adalah cara untuk menzahirkan rasa syukur.
“Sebagai rakyat Malaysia kita harus sentiasa bersyukur dengan keamanan dan perpaduan yang kita ada”.
Walaupun datang dari latar belakang berbeza, keempat-empat wira ini diikat oleh semangat yang sama dan menjadi cerminan semangat juang rakyat Malaysia yang tidak pernah luntur.
© New Straits Times Press (M) Bhd