Grealish selamatkan Everton, benam rekod kebal Bournemouth

Grealish selamatkan Everton, benam rekod kebal Bournemouth

Grealish selamatkan Everton, benam rekod kebal Bournemouth


Bournemouth: Sentuhan Jack Grealish akhirnya memecahkan kebuntuan apabila pemain tengah itu muncul wira Everton dalam kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah tuan rumah di laman sendiri musim ini.

Kemenangan itu juga menandakan detik bersejarah buat The Toffees yang meraih kemenangan liga pertama mereka di gelanggang Bournemouth selepas sekian lama berkunjung tanpa pulangan tiga mata.

Everton kini mengumpul 21 mata selepas 14 perlawanan untuk naik ke tangga kesembilan, manakala Bournemouth kekal di kedudukan ke-14 dengan 19 mata selepas hanya meraih satu mata daripada lima perlawanan terakhir.

Aksi kedua-dua pasukan pada awalnya tampak meyakinkan, namun ketumpulan di kawasan serangan membuatkan permainan hambar sebelum detik penentu tiba pada minit ke-78.

Carlos Alcaraz mencuri bola di tengah dan melorongkan kepada Grealish yang melakukan larian solo sebelum rembatan dari luar kotak penalti terkena Bafode Diakite dan meluru masuk ke penjuru gawang.

Sejak David Moyes kembali membimbing Everton Januari lalu, hanya Arsenal mengumpul lebih banyak mata di tempat lawan, dan persembahan berdisiplin ini menguatkan lagi reputasi mereka sebagai ‘pakar tempat lawan’.

Bournemouth pula tampil longlai dengan kekurangan idea di depan gol, sesuatu yang pastinya membimbangkan Andoni Iraola walaupun belum berada dalam zon panik.

Everton hampir membuka jaringan pada babak pertama apabila sepakan sudut James Garner terkena palang selepas disentuh Alex Scott, sebelum satu lagi percubaan terkena tiang hanya beberapa minit kemudian.

Thierno Barry yang masih mencari gol pertamanya buat Everton turut mensia-siakan peluang keemasan selepas dinafikan Djordje Petrovic dalam situasi satu lawan satu.

Bournemouth sekali lagi kesal apabila Antoine Semenyo gagal menewaskan Jordan Pickford dengan percubaan tepat ke arah penjaga gol England itu.

Everton akan kembali ke gelanggang sendiri untuk menyambut bekas pengendali mereka, Sean Dyche bersama Nottingham Forest, manakala Bournemouth bakal menerima kunjungan Chelsea hujung minggu ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top