Gred penghulu, penggawa wajar ditingkatkan

Gred penghulu, penggawa wajar ditingkatkan


KLANG: Jawatan penghulu dan penggawa perlu disemak, ditambah baik serta ditingkatkan tahap grednya bersesuaian dengan keperluan seperti pembangunan ekonomi serta pertambahan penduduk di sesuatu mukim.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semakan tersebut penting memandangkan institusi penghulu itu sendiri perlu dipertahankan selain memainkan peranan penting dalam menyampai serta melaksanakan dasar atau program kerajaan.

Menurutnya, penghulu kini bukan sahaja menguruskan komuniti tempatan, malah sebahagian mereka turut berinteraksi dengan ekspatriat menjadikan tanggungjawab mereka kini lebih berat dan penting.

“Mungkin lebih daripada tahap 40 yang ada sekarang sebab sesetengah daripada mereka ada yang berpendidikan doktor falsafah, ijazah.

“Tetapi, ia secara langsung melibatkan perjawatan awam, bukan satu jalan yang mudah. Tetapi saya bercadang dengan tahap complexity masyarakat terutama di kawasan-kawasan tertentu wajar dipertimbangkan di masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu / Penggawa Semenanjung Malaysia 2024, hari ini.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu, perkara tersebut akan diusulkan dalam Dewan Rakyat selain dicadangkan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk dirumuskan termasuk melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan peningkatan gred penghulu dan penggawa bukan sahaja melibatkan undang-undang tetapi keperluan peningkatan gaji serta tanggungjawab berikutan institusi itu wujud sebelum jawatan menteri besar dan perdana menteri.

“Jadi, mereka akan terus kekal relevan kalau dapat beradaptasi dengan perubahan dan juga ada pemerkasaan dan pemberdayaan terhadap institusi itu. Itu yang saya pandang dalam selepas pengalaman saya dalam beberapa tahun dalam kerajaan.

“Itu idea baharu yang baru dilontarkan, tidak lain dan tidak bukan untuk memperkasakan institusi itu yang berperanan sangat penting, sebab pengalaman saya contoh, kalau pembangunan usahawan negeri, mereka turun ke setiap lokasi,” ujarnya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top