Athens: Greece tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menyertai mana-mana operasi ketenteraan di Selat Hormuz, kata jurucakap kerajaan Pavlos Marinakis pada Isnin, sambil menegaskan bahawa negara itu tidak berniat untuk terlibat dalam peperangan, lapor Xinhua.
Bercakap dalam taklimat rutin, Marinakis berkata penglibatan semasa Greece dalam Operasi Perisai Kesatuan Eropah adalah “terhad secara geografi di Laut Merah dan tidak melibatkan Selat Hormuz.”
Beliau berkata hanya kapal dari Greece dan Itali sedang menyertai operasi berkenaan, yang bertujuan untuk melindungi perkapalan komersial di wilayah itu.
Marinakis berkata Greece sentiasa menyokong penerapan undang-undang antarabangsa secara sejagat.
“Kami sama sekali tidak berniat untuk terlibat dalam peperangan,” katanya.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad berkata beliau telah “meminta” beberapa negara yang sangat bergantung kepada bekalan minyak dari Asia Barat untuk menyertai satu gabungan bagi mengiringi kapal melalui Selat Hormuz, namun tidak menamakan negara-negara yang sedang dirundingi oleh Rumah Putih.
© New Straits Times Press (M) Bhd






