zatuliffah@hmetro.com.my
Stockholm: Daripada seorang aktivis alam sekitar, Greta Thunberg,22, kini mencuri tumpuan dunia apabila muncul di barisan hadapan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang belayar menuju ke Gaza.
Tindakan beraninya itu bukan sekadar menyemarakkan semangat ratusan aktivis lain tetapi turut membawa mesej simbolik bahawa perjuangan hak asasi manusia dan krisis iklim adalah dua isu yang saling berkait rapat.
Dalam tempoh beberapa minggu lalu, puluhan kapal GSF yang sarat dengan bantuan kemanusiaan dipintas oleh tentera laut Israel di perairan Laut Mediterranean.
Namun, kelibat Thunberg yang berdiri megah di geladak kapal menjadikan wajahnya terpampang di dada akhbar antarabangsa, sekali gus mengangkat misi itu ke tahap berbeza.
Dilahirkan pada 2003 di ibu negara Sweden, Greta dibesarkan dalam keluarga seni, yang mana ibunya, Malena Ernman, ialah seorang penyanyi opera manakala bapanya, Svante Thunberg, seorang pelakon.
Beliau pertama kali mengetahui tentang perubahan iklim ketika berusia lapan tahun dan mula mengalami kemurungan pada usia 11 tahun, yang menyebabkannya berhenti bercakap serta tidak mahu ke sekolah.
Tidak lama selepas itu, beliau disahkan menghidap sindrom Asperger, sejenis autisme, yang kemudiannya disifatkan sebagai “kuasa luar biasa” yang mendorongnya untuk terus berjuang.
Perjuangan Greta bermula pada 2018 apabila beliau melancarkan protes seorang diri di hadapan Parlimen Sweden, menuntut tindakan segera kerajaan terhadap perubahan iklim.
Kehadirannya dalam flotila Gaza kini menandakan satu peralihan fokusnya, membuktikan kematangan anak muda dalam kancah politik global yang lebih mencabar.
Penganjur flotila mendedahkan, Thunberg tidak pernah meminta sebarang layanan istimewa, sebaliknya sanggup tidur di kabin sempit dan membantu mengangkat kotak bantuan bersama sukarelawan lain.
Pemerhati politik Eropah melihat tindakan Thunberg sebagai cabaran besar kepada kerajaan-kerajaan Barat yang selama ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam pendirian mereka terhadap Israel.
Walaupun sering ditahan kerana menyertai protes alam sekitar, Greta dicalonkan untuk Hadiah Keamanan Nobel setiap tahun dari 2019 hingga 2023.
Beliau diiktiraf kerana berjaya meningkatkan kesedaran awam mengenai perubahan iklim di seluruh dunia, satu fenomena yang dikenali sebagai “kesan Greta”.
Kini imejnya bukan lagi hanya aktivis iklim tetapi simbol interseksionaliti gerakan global yang menghubungkan iklim, hak asasi manusia dan solidariti antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd