Reuters
Ohio: Selepas meraih kejuaraan pada hujung minggu lalu, pemain golf Amerika Syarikat (AS), Ben Griffin meneruskan momentum cemerlangnya apabila mencatat 7 di bawah par 65 pada pusingan pertama Kejohanan Memorial di Dublin, Ohio, awal pagi tadi.
Griffin, 29, menyerlah di padang golf Muirfield Village apabila melakukan eagle sejauh 11.5 kaki di lubang par-5 ketujuh, sebelum menamatkan hari dengan tiga birdie berturut-turut di lubang 16 hingga 18.
Catatan itu meletakkan Griffin dua pukulan di hadapan pencabar terdekatnya, Collin Morikawa iaitu juara dua kali di kejohanan yang dianjurkan legenda golf, Jack Nicklaus.
“Ayah saya selalu berpesan untuk main par di lubang pertama dan terakhir, tetapi malangnya hari ini saya birdie di dua-duanya,” kata Griffin sambil berseloroh.
Griffin baru sahaja menjulang gelaran individu pertamanya di Jelajah PGA minggu lalu menerusi Kejohanan Charles Schwab di Colonial Country Club.
Sebulan sebelum itu, dia turut memenangi Zurich Classic of New Orleans bersama rakan sepasukan, Andrew Novak.
Prestasi luar biasanya minggu ini menunjukkan dia langsung tidak keletihan walaupun beraksi tanpa henti.
“Ini perkara biasa. Saya mulakan tahun ini dengan bermain 13 kejohanan berturut-turut.
“Ramai rakan sepeloton tak faham macam mana saya boleh lakukannya. Rahsianya, saya rehat betul-betul pada hari Isnin dan pagi Selasa.
“Saya hanya mula buat persiapan kejohanan pada petang Selasa, kecuali untuk kejohanan besar atau padang golf yang saya belum biasa,” katanya.
Sementara itu, Morikawa memulakan aksi dengan lima birdie dalam 14 lubang pertama, namun pukulan liar di lubang ke-15 menyumbang kepada satu-satunya bogey untuk hari itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd