KETUA Pegawai Eksekutif Grimsby Town, Polly Bancroft mengakui kelab Liga Dua itu berdepan situasi luar biasa apabila undian Piala Liga menemukan mereka dengan Manchester United di Blundell Park, awal pagi Khamis ini.
Minat luar biasa terhadap pertembungan bersejarah itu menyebabkan laman sesawang Grimsby ‘crash’ sejurus undian diumumkan, dengan permintaan tiket dilaporkan mampu memenuhi stadium berkapasiti 9,000 sebanyak tiga kali ganda.
“Telefon saya tidak berhenti berdering. Ia benar-benar detik luar biasa buat semua yang terlibat dengan Grimsby,” kata Bancroft.
Bekas ketua pasukan bola sepak wanita Manchester United itu mengakui perlawanan ini lebih bermakna kerana ia mempertemukan kelab lamanya dengan pasukan yang kini dipimpinnya.
Selain membina reputasi Grimsby di atas padang, Bancroft turut berusaha mengangkat skuad wanita kelab itu ke tahap lebih profesional dengan menyediakan kemudahan, sokongan logistik serta keterlihatan bersama skuad utama lelaki.
Mengulas perbezaan besar berdepan kelab gergasi seperti United, Bancroft yakin suasana meriah penyokong di Blundell Park mampu mencabar keselesaan lawan.
“Old Trafford jauh lebih besar, tetapi saya percaya penyokong kami akan menjadikan suasana di sini sesukar mungkin untuk mereka,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Manchester United, Ruben Amorim, yakin ketiadaan saingan Eropah musim ini akan memberi kelebihan kepada The Red Devils untuk fokus dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala Liga.
United menamatkan peluang beraksi di pentas Eropah buat kali kedua sejak kelab England kembali menyertai pertandingan UEFA selepas larangan lima tahun berakhir pada 1990, melabuhkan tirai ditangga ke-15 dalam EPL musim lalu serta tewas di final Liga Europa kepada Tottenham Hotspur.
Keputusan itu menyaksikan United terpaksa memulakan kempen Piala Liga lebih awal daripada biasa, dengan pertemuan menentang kelab Divisyen Dua, Grimsby Town pada Khamis ini sebagai perlawanan pertama sejak 1948.
Amorim melihat isu tersebut sebagai kecil berbanding peluang yang diperoleh untuk memberikan lebih banyak latihan dan penggiliran pemain sepanjang musim.
“Kami tidak bersedia untuk bermain dalam Eropah dan EPL pada masa sama. Kami perlukan masa untuk membina pasukan,” kata Amorim.
United pernah memasuki pusingan kedua Piala Liga pada 2014 mengalami kekalahan memalukan 0-4 kepada MK Dons, ketika itu menampilkan pemain muda berusia 18 tahun, Dele Alli.
Kini, pendekatan serupa akan digunakan, dengan penggiliran pemain selepas seri 1-1 menentang Fulham dalam aksi liga Di Craven Cottage pada Ahad.
“Kami ada tiga perlawanan minggu ini dan ramai pemain berkualiti. Jadi, penggiliran perlu dilakukan untuk cuba menang setiap perlawanan,” kata Amorim.
Beberapa pemain senior seperti Kobbie Mainoo, Harry Maguire, Manuel Ugarte dan penyerang Joshua Zirkzee berada dalam senarai simpanan, bermain sedikit atau langsung tidak diturunkan setakat ini.
Penjaga gol sensasi, Andre Onana juga dijangka mendapat peluang, bersama pemain muda Ayden Heaven dan Tyler Fredricson.
Noussair Mazraoui masih belum beraksi kerana pemulihan kecederaan mungkin tidak dibawa dalam kunjungan lawatan ke Blundell Park itu.
PIALA LIGA 2025/26
28 OGOS (KHAMIS)
JADUAL
Fulham lwn Bristol City
Everton lwn Mansfield Town
Oxford United lwn Brighton
Grimsby Town lwn Manchester United, 3 pagi
* Semua perlawanan bermula jam 2.45 pagi kecuali dinyatakan