yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pusat Perundangan bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) memaklumkan kira-kira 200 prosiding perbicaraan membabitkan sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) diadakan sejak Khamis hingga pagi semalam.
ADALAH dalam kenyataan berkata, prosiding terbabit bagaimanapun diadakan tanpa sebarang notis awal diberikan kepada peguam bernaung di bawah agensi berkenaan.
Keadaan itu, katanya, mengakibatkan tiada pasukan pembelaan yang hadir untuk mewakili sukarelawan GSF, sepanjang prosiding berkenaan berlangsung.
“Pasukan peguam ADALAH juga sudah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 80 sukarelawan GSF ketika perbicaraan diadakan di hadapan tribunal yang meneliti perintah tahanan, semalam.
“Prosiding perbicaraan masih diteruskan hari ini, dan peguam kami kini berada di Penjara Ktziot yang menjadi pusat tahanan ratusan sukarelawan GSF,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Dalam pada itu, ADALAH berkata, sukarelawan GSF memaklumkan mereka menerima pelbagai bentuk layanan buruk dan keganasan daripada pengawal penjara.
“Ada yang menyatakan mereka tidak menerima sebarang makanan sejak pintasan haram dibuat, ubat-ubatan mereka disembunyikan dan tiada ubat alternatif disediakan.
“Selain itu, ada yang melaporkan kekurangan akses kepada air minuman bersih, selain menggambarkan air yang tersedia sebagai tidak selamat atau berkualiti rendah,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, kapal terbang dari Ankara yang diselaraskan Kedutaan Turkiye di Tel Aviv sudah membawa 137 sukarelawan dari pelbagai negara, termasuk Turkiye, Itali, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kuwait, Algeria, Tunisia, Maghribi, Mauritania, Libya, Jordan, Switzerland, Bahrain, dan Malaysia.
ADALAH berkata, pihaknya bagaimanapun belum menerima sebarang komunikasi langsung daripada pihak berkuasa mengenai kemungkinan prosedur deportasi baki sukarelawan GSF yang ditahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd