am@hmetro.com.my
Sepang: Satu-satunya kapal dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF), Marinette yang masih berlayar menuju ke perairan Gaza dilaporkan sudah memasuki Zon Merah kedua setakat jam 2 petang waktu tempatan.
Wakil Jawatankuasa Induk Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), Nur Adibah Razali berkata, berdasarkan bacaan kelajuan, kapal itu kini berada pada tahap memecut.
“Untuk makluman, kelajuan mereka sudah mencecah enam knot. Dalam erti kata lain (istilah pelayaran), ia dianggap memecut kerana purata kelajuan kapal biasanya sekitar 4.5 hingga lima knot.
“Kalau tengok sistem kamera litar tertutup (CCTV) waktu di sana sudah siang dan kalau berlaku pintasan sekali pun akan nampak dengan jelas,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Ditanya mengenai keberadaan delegasi Malaysia yang masih berada di bawah tahanan pasukan Pertahanan Israel (IDF), beliau berkata, maklumat itu akan dikongsi oleh Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dalam sidang media pada jam 4 petang ini.
Jawapan sama turut diberikan mengenai status enam sukarelawan yang diterbangkan pulang dari Greece ke Malaysia untuk menyambung penugasan di SNCC.
Terdahulu, media melaporkan seramai 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan ditahan pada jam 4.24 petang waktu Malaysia.
Penahanan itu disahkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) selepas komunikasi dengan delegasi terputus selain terdapat rakaman visual menunjukkan mereka ditahan IDF.
© New Straits Times Press (M) Bhd