'Guan Eng tidak perlu risau, topi-topi dipakai Dr Sam tak tumpu kepada satu sosok sahaja' – Ahmad Fadhli

'Guan Eng tidak perlu risau, topi-topi dipakai Dr Sam tak tumpu kepada satu sosok sahaja' – Ahmad Fadhli


nurhanim.osman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mempersoalkan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.

Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, bekas Setiausaha DAP itu tidak perlu bimbang mengenai kemampuan Ahmad Samsuri memegang dua jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan Menteri Besar Terengganu.

Beliau berkata, ini kerana ‘topi-topi’ yang dipakai Ahmad Samsuri adalah berbeza dan tidak hanya tertumpu kepada satu sosok sahaja untuk menjayakannya.

“Lim Guan Eng tidak perlu risau. Topi-topi yang dipakai oleh Dr Sam ialah topi-topi yang berbeza dan tidak hanya tertumpu kepada satu sosok sahaja untuk menjayakannya.

“Lagipun, Dr Sam pegang jawatan Ketua Pembangkang ini tidak lama. Sekejap sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng mempersoalkan keputusan PAS melantik Ahmad Samsuri sebagai Ketua Pembangkang ketika masih memegang jawatan Menteri Besar Terengganu.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, timbul persoalan sama ada PAS tidak mempunyai pemimpin lain yang cukup berwibawa sehingga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan perlu memikul dua tanggungjawab besar secara serentak.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli mengingatkan Guan Eng bahawa beliau sendiri pernah memegang beberapa jawatan penting secara serentak ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang selama dua penggal.

Katanya, Guan Eng ketika itu turut berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selain memegang jawatan Setiausaha Agung DAP yang disifatkannya sebagai jawatan eksekutif tertinggi parti berkenaan.

“Tiada siapa pun yang mempersoalkan. Bahkan sekarang pun, di dalam kesibukan kes di mahkamah, Lim Guan Eng masih boleh jalankan tugas sebagai ‘pembangkang’ di DUN Pulau Pinang dengan bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top