Guardiola akui musim ini paling sukar

Guardiola akui musim ini paling sukar


City ketinggalan 18 mata di belakang juara Liverpool.

PEP Guardiola mengakui bahawa musim ini adalah paling sukar dalam 16 tahun kerjaya kejurulatihannya apabila gagal mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah.

Jurulatih dari Sepanyol itu sebelum ini hampir tidak pernah gagal meraih kejayaan bersama Barcelona, Bayern Munich dan City.

Namun, selepas memenangi Liga Perdana sebanyak empat kali berturut-turut, prestasi City merudum sejak akhir Oktober.

Mereka masih berpeluang menamatkan kempen dengan kedudukan lima teratas dan menjulang Piala FA, selain turut mempunyai satu lagi peluang meraih trofi di Piala Dunia Kelab.

Namun, meskipun musim ini ditamatkan dengan nota positif, ia tidak akan mengubah pandangan Guardiola terhadap keseluruhan musim ini.

“Ini adalah musim paling sukar, itu pasti.

“Ia lebih mencabar dan jauh lebih mencabar. Apabila anda tidak menang, ia lebih menuntut dari segi emosi, persiapan, suasana hati dan segalanya. Ia lebih sukar berbanding musim-musim sebelumnya ketika kami bersaing merebut kejuaraan,” katanya.

Kecederaan, khususnya kepada pemain tengah Rodri, menjadi faktor utama kemerosotan City, manakala beberapa pemain lain turut mengalami penurunan prestasi dan Guardiola tidak menolak tanggungjawab terhadap situasi itu.

“Kami mengalami banyak kecederaan, kehilangan tenaga. Kami cuba dalam kebanyakan masa, tetapi tidak mampu melakukannya. Saya gagal mencari jalan untuk membuatkan mereka berasa selesa dan memenangi perlawanan,” katanya.

Guardiola yang akan membawa pasukan menentang Southampton yang telah tersingkir pada Sabtu ini mengakui standard tinggi City telah merosot.

“Namun saya akan kata, keadaan boleh jadi lebih teruk. Saya tidak cukup bagus untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi kami tidak berputus asa.

“Kami masih berjuang untuk layak ke Liga Juara-Juara. Ia akan menjadi ganjaran yang sangat besar bersama kejuaraan Piala FA,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top