ISKANDAR PUTERI – Dua daripada tiga pekerja warga Bangladesh yang melecur dalam kebakaran empat gudang di Kawasan Perindustrian SILC, di sini, Khamis lalu meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, seorang mangsa meninggal dunia lewat malam semalam, manakala seorang lagi meninggal dunia awal pagi tadi.
“Dua mangsa warga Bangladesh telah meninggal dunia, manakala seorang lagi masih mendapat rawatan.
“Seorang pekerja meninggal dunia pukul 10 malam dan seorang lagi meninggal dunia lebih pukul 2.15 pagi tadi.
“Hasil laporan bedah siasatan, punca kedua-dua mangsa yang berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun disebabkan kecederaan terbakar yang teruk ‘severe burn injury’,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khamis lalu, empat gudang simpanan termasuk dua gudang menyimpan bahan dipercayai ‘thinner’ terbakar sehingga menyebabkan tiga pekerja lelaki warga Bangladesh cedera dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan lanjutan.
Kebakaran tersebut turut memusnahkan 80 peratus tiga stuktur gudang manakala sebuah lagi mengalami kerosakan 10 peratus. – MalaysiaGazette