Miami: Pemain tengah Senegal, Pape Gueye mengumumkan tidak akan lagi menyarung jersi kebangsaan selagi barisan kejurulatihan sedia ada terus dikekalkan selepas pasukannya tersingkir dari Piala Dunia.
Senegal melepaskan kelebihan dua gol sebelum tewas 3-2 kepada Belgium menerusi masa tambahan pada pusingan 32 terbaik.
“Saya akan kembali untuk bercakap mengenai penyingkiran ini.
“Tetapi hari ini saya ingin mengumumkan bahawa selagi barisan kejurulatihan ini kekal, saya akan berehat daripada skuad kebangsaan,” tulis pemain berusia 27 tahun itu menerusi media sosial.
Senegal berada di landasan terbaik untuk mara selepas Habib Diarra dan Ismaila Sarr meletakkan pasukan itu di depan.
Gueye yang menjaringkan dua gol sepanjang kejohanan dikeluarkan sejurus selepas sejam permainan, apabila jurulatih Pape Thiaw memasukkan Lamine Camara bagi mengukuhkan benteng pertahanan ketika Senegal cuba mempertahankan kelebihan.
Namun Belgium bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit terakhir menerusi Romelu Lukaku dan Youri Tielemans untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Belgium akhirnya melengkapkan kebangkitan apabila Tielemans menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) membabitkan pemain gantian Senegal, Camara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






