Gugur bukan sebab prestasi, Wan Zikri harap Ridzuan terus agenda yang telah dirancang

Gugur bukan sebab prestasi, Wan Zikri harap Ridzuan terus agenda yang telah dirancang


ARAU: Bekas Pengerusi Jawatankuasa Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji dari Pas, Mohd Ridzuan Hashim yang menggantikan beliau dapat meneruskan agenda yang telah dirancang demi pembangunan sukan dan belia di negeri ini.

Beliau berkata, antara perkara yang sedang berjalan dan sudah dirancang oleh beliau adalah seperti Perlis Usahawan Fest dari 13 hingga 15 Disember, penyampaian insentif Sukma dan Parasukma pada Disember ini, Perlis International Marathon 2025, Sukan Perlis 2025, Sukan Komuniti Perlis 2025 dan peruntukan Sukan DUN 2025.

Antara lain kata ADUN Tambun Tulang itu, pelancaran dan pemerkasaan koperasi atlet Perlis, sidang demokrasi Belia 2025, fasiliti sukan dan komuniti, promosi misi 20 emas Sukma Selangor 2026 dan pelan pembangunan sukan 2025-2030.

“Saya berharap ia dapat diteruskan oleh Exco yang baharu ini atau mungkin ditambah baik jika perlu. Saya akan tetap berkhidmat membawa suara rakyat dari kawasan saya di DUN Tambun Tulang,” katanya di sini hari ini.

Rombakan Exco kerajaan negeri menyaksikan Wan Zikri digugurkan meskipun menunjukkan prestasi yang cukup baik sepanjang setahun memegang amanah tersebut.

Selain Wan Zikri, ADUN Pauh, dari Bersatu, Megat Hashirat Hassan turut digugurkan.

Sementara itu, menjawab persoalan mengapa beliau digugurkan, Wan Zikri berkata, jawapan tersebut tidak ada pada beliau kerana kuasa mutlak melantik Exco adalah dari Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Beliau juga telah bersemuka dan bertanya pada Menteri Besar berkaitan hal tersebut sama ada pengguguranya adalah disebabkan prestasi atau apa apa masalah berkaitan hala tuju sukan negeri negeri dan Mohd. Shukri menyatakan tidak dan bukan disebabkan prestasi.

“Saya juga hanya dipanggil dan dimaklumkan mengenai perkara tersebut pada hari Sabtu iaitu dua hari sebelum majlis pelantikan Exco. Dan inilah yang saya tegaskan dan sedikit terkilan, kerana saya lebih selesa diberitahu awal supaya dapat merencana dan membuat penyerahan tugas dengan lebih tersusun.

“Hal demikian kerana banyak program seperti penyerahan Insentif Sukma, Karnival Usahawan Perlis dan beberapa lagi acara lain yang akan diadakan pada Disember. Maka jika saya dapat maklumat ini lebih awal makanya penyerahan tugas akan lebih lancar,” katanya.

Meskipun sedih dan kecewa selepas setahun bertungkus lumus namun sebagai seorang ahli politik dan pemimpin, beliau sentiasa berjiwa besar.

“Saya akan terus berusaha dalam memberikan yang terbaik buat seluruh warga Tambun Tulang. Sebagai salah seorang ADUN, saya akan cuba berperanan untuk semak dan imbang dalam membantu sedaya mampu saya untuk kerajaan negeri ini,” katanya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top