Guirassy bantu Dortmund tundukkan Augsburg, fokus beralih kepada Manchester City

Guirassy bantu Dortmund tundukkan Augsburg, fokus beralih kepada Manchester City


Augsburg: Jaringan tunggal Serhou Guirassy sudah cukup untuk membantu Borussia Dortmund meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Augsburg dalam aksi Bundesliga awal pagi tadi, sebagai persiapan menjelang pertembungan penting menentang Manchester City minggu depan.’

Tiga mata penuh itu melonjakkan Dortmund ke tangga kedua liga, empat mata di belakang pendahulu, Bayern Munich yang bakal menentang Bayer Leverkusen malam ini.

Skuad kendalian Niko Kovac bagaimanapun dilihat beraksi sederhana menentang Augsburg yang terus bergelut apabila hanya menang sekali daripada lapan perlawanan terakhir mereka.

Gol kemenangan Dortmund hadir lapan minit sebelum tamat separuh masa pertama selepas kesilapan mudah pertahanan tuan rumah. Chrislain Matsima secara tidak sengaja menendang bola ke arah rakan sepasukan Han-Noah Massengo sebelum bola melantun ke kaki Guirassy.

Penyerang kelahiran Guinea itu tenang mengawal bola sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Finn Dahmen untuk membuka akaun jaringan liga pertamanya sejak pertengahan September.

“Kami baru sahaja bermain 120 minit dalam aksi Piala Jerman di Frankfurt dan setiap pemain sudah sampai ke tahap maksimum.

“Perlawanan seperti ini sangat sukar. Tempoh rehat singkat, perjalanan jauh dan keletihan jelas terasa. Namun kami berjaya kekalkan benteng tanpa bolos dan itu yang paling penting,” ,” kata penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel.

Permulaan perlawanan turut tertangguh seketika selepas penyokong Dortmund membaling bola tenis ke padang sebagai tanda protes terhadap waktu sepak mula lewat dan menuntut semua aksi Bundesliga dimainkan pada petang Sabtu.

Kovac yang masih berhati-hati selepas kemenangan dramatik dalam Piala Jerman turut merehatkan beberapa tonggak utama termasuk kapten, Nico Schlotterbeck yang mengalami selesema ringan.

Kekalahan itu menambah derita Augsburg di bawah bimbingan jurulatih muda, Sandro Wagner, selepas turut disingkirkan oleh pasukan divisyen dua, Bochum dalam saingan Piala Jerman minggu ini. Dortmund kini mengalihkan fokus ke saingan Liga Juara-Juara menentang Manchester City, dengan kedua-dua pasukan berkongsi tujuh mata selepas tiga perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top