Genre seram terus menjadi pilihan utama penonton dan kecenderungan itu mendorong syarikat produksi dari Sarawak, Faradale Media-M Sdn Bhd, menghasilkan Azimat, sebuah karya yang memadukan elemen seram serta psikologi.
Azimat mengangkat kisah Hanna, seorang gadis yang percaya bahawa seutas rantai azimat mampu mengubah nasib malangnya selepas berjumpa dengan seorang bomoh Iban.
Kay Rezza Karim selaku penerbit menjelaskan Azimat membawa kelainan tersendiri berbanding filem seram lain kerana menggabungkan unsur mistik tempatan dengan perjalanan emosi manusia dalam satu naskhah yang lebih mendalam dan penuh tekanan perasaan.
“Filem seram ini istimewa kerana menjalani penggambaran di Sarawak. Kami mengangkat jalan cerita tempatan. Menariknya, pelakon serta tenaga produksi 97 peratus warga Sarawak, termasuk barisan pelakon utama seperti Dee Dee Aine Peter, Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud.
“Filem ini menggunakan bahasa Melayu Sarawak, bahasa Iban dan bahasa Inggeris untuk mengekalkan keaslian suasana. Pemilihan Kuching sebagai lokasi penggambaran juga dibuat kerana visualnya yang kuat dan identitinya yang kaya dengan elemen budaya,” katanya.

Menurut Kay Rezza, idea awal untuk menghasilkan filem ini muncul pada tahun 2019 selepas perbincangan bersama dua penulis yang tertarik untuk menelusuri hubungan antara kepercayaan, trauma dan nasib dalam kehidupan seseorang.
“Kami mahu menghasilkan karya seram yang bukan sekadar mengejutkan penonton, tetapi juga menyelami perasaan dan pergolakan jiwa seseorang yang berada di hujung ketahanan,” katanya.
Menurutnya lagi, Kuching dipilih bukan sekadar kerana kecantikan lokasinya tetapi juga untuk menonjolkan Sarawak sebagai pusat penghasilan karya seni yang berkualiti.
Sebagai pengarah, Kay Rezza turut menegaskan bahawa walaupun Azimat hanyalah rekaan, filem ini diinspirasikan daripada kisah-kisah sebenar dalam masyarakat, terutama yang melibatkan kepercayaan terhadap azimat serta impak psikologi terhadap individu yang mengalami trauma.
Sepanjang 37 hari penggambaran, pasukan produksi turut berdepan beberapa kejadian ganjil.
“Ada masanya kami terdengar bunyi pelik yang tidak diketahui puncanya, peralatan tiba-tiba terganggu tanpa sebab dan beberapa kru mengalami pengalaman yang sukar dijelaskan. Walaupun begitu, penggambaran tetap berjalan dengan baik. Saya anggap semua itu sebagai pengalaman yang menguatkan lagi aura mistik filem ini,” katanya.
Azimat akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 November 2025. Kay Rezza berharap karya terbarunya ini mendapat sambutan penonton dengan kelainan yang diketengahkan.
“Harapan saya adalah penonton bukan sahaja merasai debaran dan ketakutan, tetapi juga membawa pulang mesej mengenai harapan, pilihan hidup dan kesan daripada setiap keputusan yang dibuat,” katanya.

SINOPSIS
Azimat mengisahkan Hanna, seorang wanita yang bergelut dengan trauma masa lalu dan kesulitan hidup yang berpanjangan. Dalam usaha untuk mengubah nasib malang yang menghimpitnya, Hanna berjumpa dengan seorang bomoh Iban yang menghadiahkan seutas rantai azimat sebagai pelindung daripada perkara buruk. Namun, di sebalik kepercayaan itu, tersembunyi satu kegelapan yang perlahan-lahan mengambil alih jiwanya.






