New Delhi: Seorang penjenayah dikehendaki akhirnya berjaya ditahan selepas pegawai Polis di sini ‘memikatnya’ melalui profil media sosial palsu yang menyamar sebagai model yang berpangkalan di Mumbai, kata seorang pegawai pada hari Jumaat.
Tertuduh, Manoj, seorang banduan seumur hidup dan tahanan parol berulang, berjanji untuk bertemu ‘model’ itu yang sebenarnya pasukan polis di Delhi Selatan, sebelum ditangkap.
“Manoj, ahli kumpulan Gogi dan rakan rapatnya Deepak, dikehendaki dalam beberapa kes di Delhi, Haryana dan Rajasthan, termasuk pembunuhan, penculikan dan rompakan bersenjata,” kata Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP)(Jenayah) Aditya Gautam dalam satu kenyataan.
Deepak adalah konspirator utama dalam pembunuhan samseng saingan Tillu Tajpuria di dalam Penjara Tihar.
Pegawai itu selanjutnya berkata mengetahui bahawa Manoj aktif di media sosial, dan disebabkan itu pasukan khusus cawangan jenayah itu merangka operasi digital.
“Ketua konstabel Dinesh dan Sukhbir mencipta profil media sosial palsu, menyamar sebagai pelakon terkenal yang berpangkalan di Mumbai.
“Selama beberapa minggu berbual, mereka mendapat kepercayaan Manoj. Akhirnya, mereka meyakinkannya untuk bertemu di kawasan Safdarjung Enclave di Delhi Selatan,” kata Aditya.
Apabila Manoj tiba, sepasukan polis yang menunggu telah menahannya dan hasil pemeriksaan menemukan dua senjata dan lapan kartrij.
Polis berkata Manoj, yang berasal dari Mahendergarh di Haryana, berpindah ke kawasan Nangloi di Delhi bersama keluarganya pada tahun 1990-an.
Perjalanan jenayahnya bermula pada tahun 2005 apabila dia, bersama rakannya Chamanlal, menculik dan membunuh seorang ahli perniagaan bernama Rahul akibat pertikaian wang tebusan.
Disabitkan kesalahan pada tahun 2013, dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Semasa di Penjara Tihar, Manoj berhubung dengan ahli-ahli utama kumpulan Gogi, termasuk Vicky Ramzanpur.
Dia terlibat secara mendalam dalam aktiviti kumpulan itu, menyelaras jenayah dari sebalik tirai besi. Dia juga menjalin hubungan rapat dengan Deepak, konspirator utama dalam pembunuhan samseng saingan Tillu Tajpuria.
Pada tahun 2014, Manoj diberikan parol selama sebulan tetapi dia tidak kembali, sebaliknya memilih untuk menyertai semula kumpulan Gogi.
Selama bertahun-tahun, dia terlibat dalam banyak jenayah, termasuk pembunuhan di Shahbad Dairy, rompakan kereta bersenjata di Narela, Begumpur dan Alipur, dan operasi pemerasan di Bawana dan kawasan lain.
Ditangkap semula pada tahun 2015, dia menghabiskan bertahun-tahun di penjara tetapi terus mengatur jenayah.
Pada Jun 2023, dia diberikan parol selama tiga minggu, di mana dia melarikan diri sekali lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd